Artikel Pilihan

JETOUR F700, TRAK PIKAP PHEV 904 PS & 1135NM

Jetour F700, sebuah trak pikap plug-in hybrid berprestasi tinggi daripada jenama Jetour di bawah Chery, disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2027 nanti. Model yang dikenali sebagai Zongheng F700 di China itu menggabungkan enjin petrol turbo dengan dua motor elektrik, menawarkan kuasa gabungan sehingga 904 PS dan tork maksimum 1,135 Nm.

Ia dibangunkan untuk pemanduan lasak serta aktiviti off-road, dengan pendekatan lebih premium berbanding trak pikap konvensional. Jetour Malaysia belum menetapkan tarikh pelancaran F700 buat masa ini kerana memberi keutamaan kepada SUV off-road premium G700 untuk dilancarkan dulu dalam masa terdekat.

Kedua-dua model berkongsi pendekatan kejuruteraan yang menggunakan struktur badan ladder frame, bersama sistem rangkaian kuasa plug-in hybrid. Untuk pasaran China, Jetour F700 ditawarkan pada harga kira-kira RM192,000 hingga RM217,000 berdasarkan anggaran kadar pertukaran semasa.

Dari segi rangkaian kuasa, F700 menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang menghasilkan 211 PS dan tork 340 Nm. Enjin ini digabungkan dengan dua motor elektrik, masing-masing dipasang pada gandar hadapan dan belakang. Motor elektrik hadapan menghasilkan 286 PS serta tork 360 Nm, manakala motor belakang menjana 408 PS dan tork 435 Nm.

Gabungan 2 motor elektrik dan enjin ini menghasilkan kuasa sekitar 904 PS atau 665 kW, dengan tork maksimum 1,135 Nm dengan semua kuasa disalurkan melalui transmisi hibrid khusus dua kelajuan atau Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bersama sistem pacuan empat roda.

Gabungan tersebut membolehkan F700 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa sekitar lima saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 180 km/j. Bagi sistem elektrifikasi, F700 menggunakan bateri litium besi fosfat (LFP) berkapasiti 34.13 kWh daripada CATL.

Bateri tersebut dipadankan dengan seni bina elektrik 800 volt dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 175 kW. Berdasarkan spesifikasi yang, bateri boleh dicas daripada 30 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 10 minit dalam keadaan pengecasan yang sesuai.

F700 menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 150 km dan jarak perjalanan gabungan sehingga 1,300 km berdasarkan kitaran ujian CLTC di China. Walaupun mempunyai prestasi tinggi, sistem PHEV ini membolehkan pengguna melakukan perjalanan harian menggunakan kuasa elektrik sebelum bergantung kepada enjin petrol untuk perjalanan lebih jauh.

Dari segi dimensi, Jetour F700 berukuran 5,495 mm panjang, 2,050 mm lebar dan 1,985 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 3,350 mm. Saiz ini meletakkannya dalam kategori trak pikap besar, dengan ruang kargo berukuran 1,520 mm panjang, 1,520 mm lebar dan 570 mm tinggi.

Ruang kargo itu mempunyai kapasiti sekitar 1,300 liter, selain menawarkan kemudahan untuk membawa peralatan aktiviti luar dan barangan bersaiz besar. F700 turut mempunyai keupayaan menunda sehingga 3.5 tan, menjadikannya sesuai untuk pengguna yang memerlukan kenderaan bagi menarik treler atau peralatan rekreasi.

Antara ciri praktikal yang dilaporkan termasuk 4 soket kuasa untuk kegunaan treler dan mod bantuan menunda pintar selain dari 2 poin USB di bahagian belajang. Bergantung pada kelengkapan pasaran, sistem bekalan kuasa luaran turut membolehkan tenaga daripada bateri digunakan bagi membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik ketika berkhemah atau melakukan aktiviti di luar kawasan bandar.

Untuk pemanduan off-road, F700 menggunakan sistem pacuan empat roda pintar XWD selain 7 mode yang berlainan. Ia turut dilengkapi 3 sistem lock differential untuk membantu meningkatkan cengkaman di permukaan yang mencabar. Keupayaan meredah airnya mencapai kedalaman sehingga 900 mm, manakala approach angle ialah 32 darjah dan departure angle pula 15 darjah.

Bahagian kabin pula menggunakan pendekatan lebih mewah dengan susun atur yang hampir sama seperti SUV G700. Antara ciri paling menonjol ialah paparan panorama Horizon Screen bersaiz 35.4 inci yang diletakkan secara melintang di bahagian bawah cermin hadapan, selain skrin infotainmen tengah 15.6 inci.

Sistem infotainmen itu dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8255, manakala penggunaan butang fizikal dikekalkan untuk memudahkan kawalan fungsi tertentu tanpa bergantung sepenuhnya kepada skrin sentuh. Kelengkapan lain yang dilaporkan untuk model ini termasuk fungsi urutan pada tempat duduk hadapan, pemanas dan pengudaraan tempat duduk, sistem bantuan pemanduan Falcon 500, parkir automatik serta kamera panorama 540 darjah.

Google ads
Back to top button