Buletin

SHELL RECHARGE LANCAR HAB PENGECASAN EV DI RESORTS WORLD GENTING

Shell Recharge baru-baru ini telah melancarkan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) terbesar yang terletak di salah satu titik tertinggi di Malaysia, iaitu di Resorts World Genting.

Hab ini dilengkapi pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW, menyediakan kemudahan untuk semua pemandu EV.

Dengan 10 ruang pengecasan yang terdiri daripada empat pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam pengecas AC 22kW, pelancaran hab pengecasan ini membuktikan kejayaan kerjasama strategik antara Shell Recharge, Porsche Malaysia, serta Genting Malaysia Berhad.

“Dengan pembukaan hab Pengecasan Berprestasi Tinggi Shell Recharge di salah satu altitud tertinggi di Malaysia, ia menandakan satu pencapaian besar dalam usaha kami mewujudkan ketersambungan kemudahan pengecasan bagi kenderaan elektrik,” kata Pengurus Besar, Shell Mobiliti Malaysia, Seow Lee Ming.

Tambah beliau, “Dua tahun lalu, kami telah melancarkan kemudahan pengecasan Shell Recharge HPC pertama di Tangkak, Johor diikuti dengan pengumuman pengoperasian tujuh lokasi pengecasan HPC di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, lapan bulan kemudian.”

“Pencapaian hari ini turut mengukuhkan lagi komitmen kami dalam memperluaskan rangkaian penyelesaian e-mobiliti inovatif di seluruh negara,” katanya.

Untuk meraikan pembukaan ini, Shell Recharge telah menganjurkan acara konvoi bersama media menaiki Porsche Taycan untuk menguji kelajuan pengecasan 360kW.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter, mewakili Porsche Malaysia berkata, “Dengan model Taycan terbaru kami, kapasiti bateri yang dicas dari 10 peratus -80 peratus hanya mengambil masa sehingga 18 minit menggunakan pengecas 360kW DC berkuasa tinggi Shell Recharge.”

Naib Presiden Kanan, Jualan & Pemasaran dan MICE, Genting Malaysia Berhad, Spencer Lee berkata, “Hab Pengecasan EV Shell Recharge mempercepat usaha kami menjadi destinasi pelancongan mesra EV di Malaysia dan mengukuhkan komitmen Resorts World Genting ke arah masa depan yang lestari.”

Untuk maklumat lanjut mengenai Shell Recharge HPC di Resorts World Genting, layari https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html

Google ads
Back to top button