Artikel Pilihan

SISTEM NYAHAKTIF SILINDER. DULU RAMAI YANG BUAT, LA NI PUN ADA LAGI

Undang-undang yang ketat menyebabkan pengeluar menjadi semakin kreatif menghasilkan enjin yang cekap tenaga, lebih bersih tapi pada masa yang sama menghasilkan kuasa yang cukup ketika pecutan dibuat. Salah satu teknik yang digunakan oleh kebanyakan pengeluar satu ketika dulu ialah dengan menyahaktifkan sebahagian silinder ketika pemanduan santai.

Sebagai contoh Mazda 6 bagi pasaran Amerika datang dengan teknologi Cylinder Deactivation bagi enjin 2500cc SkyActiv G mereka. Enjin 4 silinder ini akan mematikan 2 silinder di bahagian luar dan memastikan hanya 2 silinder yang berada di bahagian tengah kekal beroperasi semasa pemanduan santai.

Cylinder Deactivaion ini akan diaktifkan pada halaju antara 30km/j sehingga 80km/j tapi ajaibnya semua silinder akan diaktifkan secara serentak apabila ia mengesan pemandu perlukan kuasa enjin yang maksima ketika pecutan dibuat.

Mazda menggunakan teknologi Hydraulic Lash Adjuster yang bersambung dengan rocker arm serta injap kemasukan. Jika sistem Cylinder Deactivation beroperasi, satu pin dalam unit HLA akan berubah kedudukan, menyebabkan aci sesondol gagal membuka injap bagi membenarkan udara masuk ketika lejang kemasukan.

Salah satu cabaran yang dihadapi ketika sistem ini diaktifkan enjin tidak lagi beroperasi dengan harmoni dengan hanya 2 silinder sahaja. Akibatnya gegaran dari primary force dan secondary force semasa piston berubah arah akan mengakibatkan gegaran yang teruk dan boleh dirasai oleh pemandu

Jadi Mazda telah mereka satu mekanisma pengimbang centrifugal di dalam transmisi 6 kelajuan automatik SkyActiv-Drive, untuk mengimbangi segala gegaran yang dihasilkan semasa sistem 2 silinder beroperasi. Hasilnya ialah teknologi ini membenarkan Mazda 6 dipandu sejauh 400 m bagi setiap liter petrol berbanding dengan Mazda 6 biasa.

Audi pula melaporkan sistem ini berjaya menjimatkan 0.4 liter petrol bagi setiap perjalanan 100km. Dari segi pencemaran mereka berjaya mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida sebanyak 8 gram bagi setiap kilometer. Jika anda masih ingat bagaimana cukai jalan Jerman dikira, setiap gram gas karbon dioksida yang berjaya dikurangkan adalah sangat bermakna

Salah satu pengeluar lain yang telah menggunakan teknologi ini ialah Honda dalam barisan enjin V6 mereka dulu yang dikenali dengan nama Variable Cylinder Management (VCM). Teknologi ini membenarkan enjin V6 beroperasi dengan pilihan 3 atau 4 silinder ketika pemanduan santai.

Berbeza dengan Mazda 6 yang menggunakan 4 silinder sebaris, enjin susunan V sebenarnya amat tidak stabil dan bergegar dengan teruk apabila beroperasi dalam mode 3 atau 4 silinder. Gegaran ini sangat teruk sehinggakan Honda memperkenalkan teknologi Active Control Engine Mounting.

Mounting atau cagak enjin ini diisi dengan hidraulik yang akan diaktifkan secara bergilir-gilir bagi menghapuskan samasa operasi VCM. Buat masa sekarang teknologi pengaktifan silinder ini masih digunakan oleh Mazda, Volkswagen dan beberapa pengeluar lain dalam usaha mengurangkan pencemaran udara serta merendahkan penggunaan bahan api.

Google ads
Back to top button