Buletin

RESTOMOD VOLVO P1800 CYAN 420HP, ADAKAH INI MIMPI?

Polestar dan dunia perlumbaan Volvo ibarat isi dengan kuku. Polestar ditubuhkan pada 1996 dan Volvo Cars pada 2015 membeli dan memiliki tanda dagangan jenama tersohor itu.

Polestar selepas itu diangkat sebagai pengeluar kenderaan jenama sendiri dan kini menawarkan model berprestasi Polestar 1 dan Polestar 2 kepada umum.

Selepas Polestar berpindah tangan, pemiliknya menubuhkan Cyan Racing dan tetap cemerlang dalam dunia perlumbaan dengan memenangi  kejuaraan dunia kereta penumpang untuk tiga musim lalu.

Kemenangan terakhir ialah Kejuaraan (pasukan) WTCR 2019 dengan kereta Lynk & Co.

Apa lagi aktiviti Cyan Racing? Ini tuan dan puan, Volvo P1800 Cyan berkuasa 420 hp dengan berat hanya 990kg. 

Volvo P1800 merupakan sebuah model ikonik, ia diperkenalkan pada tahun 1960, setahun sebelum Jaguar E-Type, dua tahun sebelum Ferrari 250 GTO dan tiga tahun sebelum Porsche 911.

Perhatikan reka bentuk P1800, tak lekang dek masa walaupun berusia lebih setengah abad.

Apa yang Cyan Racing buat dengan unit tahun 1964 ini ialah merombak semula casis, pengendalian, enjin dan memberi nafas baharu. 

Tampil baharu dan tanpa bantuan pemandu seperti kawalan penstabilan, ABS atau penggalak brek.

Volvo P1800 Cyan dibangunkan oleh individu yang turut sama terlibat dalam rekabentuk, membina dan membangunkan Volvo S60 TC1 Cyan yang merupakan kereta kejuaraan dunia.

Berikut ialah apa yang dibuat pada Volvo P1800 Cyan:

  • Enjin 2.0 turbo empat silinder yang diasaskan dari enjin sama digunakan pada model lumba S60 TC1.
  • 420 hp pada 7,000 rpm, 455 Nm pada 6,000 rpm dengan redline pada 7,700 rpm.
  • Ditala untuk kuasa linear dan keluk daya kilas seperti enjin aspirasi normal.
  • Talaan enjin dibuat bagi memberikan pengalaman pemanduan seperti era 60-an tetapi dengan keistimewaan kuasa.
  • Pacuan roda belakang.
  • Kotak gear lima kelajuan Holinger binaan khas dengan tukaran gear lebih tepat dan keupayaan untuk mengendalikan pertambahan tork.
  • Gandar belakang asal jenis live diganti dengan suspensi bebas baharu yang direka oleh Cyan.
  • Casis diperkukuh dengan keluli kekuatan tinggi dan gentian karbon.
  • Berat kereta 990 kg.
  • Suspensi depan dan belakang boleh laras dengan komponen ringan.
  • Bahagian utama yang membantu dalam keseronokan pemanduan pacuan roda belakang ialah Pembeza Gelincir Terhad (LSD) yang bias kepada daya kilas (torque bias). 
  • Roda forged 18 inci dengan tayar Pirelli P Zero 235/40 (depan) dan 265/35 (belakang).
  • Brek empat omboh dengan cakera besi 362x32mm. 

Selain itu Volvo C30 Polestar Performance Prototype, kereta jalanan pertama Cyan Racing digunakan sebagai penanda aras di dalam proses pembangunan Volvo P1800 Cyan.

Volvo P1800 Cyan dipasarkan secara bebas oleh pengeluarnya dan Volvo Cars tidak terlibat di dalam projek ini.

Harga tidak dimaklumkan secara umum dan Cyan tidak menjadikan Volvo P1800 Cyan sebagai projek one-off dan menawarkan  kepada pelanggan yang berminat.

Ini sebuah restomod luar biasa dari pasukan lumba yang terkenal dan terbukti hebat!

BACA: SUV PACU KEJAYAAN VOLVO, GILANG-GEMILANG DALAM 93 TAHUN

BACA: VOLVO AKAN HADKAN KELAJUAN KERETA BAHARU MEREKA SECARA DRASTIK

BACA: VOLVO XC40 RECHARGE – EV PERTAMA VOLVO, JARAK 400KM

Google ads
Back to top button