Motosikal

HONDA REBEL 2020. LAMPU LED, SLIPPER CLUTCH, BANYAK AKSESORI ORI, BERMULA RM32,899

Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan Honda Rebel 2020 baharu yang telah ditambah baik.

Jentera itu kini boleh anda miliki pada harga RM32,899 seunit di semua cawangan Honda Big Wing seluruh negara.

Rebel mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017 sebagai sebuah cruiser dengan gayaan bobber klasik, tetapi dilengkapi teknologi moden. Dilihat seperti satu kanvas kosong, Rebel sedia untuk diubah suai mengikut kreativiti pemiliknya.

Antara pembaharuan yang diberi kepada Rebel ialah klac bantuan dan slipper. Aspek pengendalian jentera itu juga dipertingkatkan menerusi kadar hentakan fork dan suspensi belakang Showa yang telah ditambah baik.

Penyerap hentak pada roda belakang kini dilengkapi cas nitrogen dan getah peredam yang direka semula untuk memberi maklum balas lebih mantap.

Semua lampu yang dipasang pada Rebel kini terdiri daripada lampu LED. Penunggang juga pasti menghargai ciri penunjuk kedudukan gear baharu pada paparan bersaiz 100mm dengan lampu latar berwanra putih.

Didatangkan dalam warna biru metalik, perak dan hitam, Rebel masih menggunakan khidmat enjin selinder berkembar sebaris 8-injap bersesaran 471cc dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin yang turut digunakan pada model CBR500R itu mampu menjana kuasa 45.6hp pada 8,500rpm dan tork puncak 43.3Nm pada 6,000rpm.

Sebagai sebuah cruiser, enjin dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI itu ditala agar dapat memberikan kuasa tork pada julat rpm rendah.

Lapik belakang untuk pembonceng dan pemijak kaki kini juga lebih mudah ditanggalkan. Ekzos gaya senapang 120mm baharu itu bukan sahaja nampak bergaya, malah mematuhi piawaian emisi Euro4.

Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori original yang ditawarkan. Antaranya ialah pad tangki, penutup master selinder, visor meter, pelana berwarna coklat, perehat belakang untuk pembonceng, penutup enjin dan banyak lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button