
SISTEM STERENG ZF STEER-BY-WIRE PADA NIO ET9, TANPA TURUS STERENG!
Kereta hari ini menggunakan banyak penderia dan komunikasi elektronik untuk menjalankan fungsi dan operasi.
Satu daripadanya adalah sistem Drive-by-Wire atau DBW yang tidak memerlukan kabel seperti biasa.
Bagaimana pula dengan kelengkapan lain? Stereng misalnya yang terang-terang menggunakan perkakasan mekanikal seperti turus stereng dan boleh dilihat secara fizikal.
Sistem Stereng Steer-by-Wire sudah lama dibangunkan dan seiring dengan perkembangan telah digunakan pada beberapa kenderaan elektrik (EV).

Terbaru ZF mengumumkan penggunaan Sistem Stereng Steer-by-Wire pada kenderaan elektrik (EV) NIO ET9.
Sistem ini menggunakan penggerak (actuator) mekatronik di antara roda depan dan satu-satunya perkakasan untuk menghantar input stereng dari pemandu.
Rekaan ini tidak memerlukan sebarang sambungan mekanikal di antara roda stereng dan gear stereng.
Penggerak roda stereng di sebalik papan pemuka dilengkapi penderia sudut putaran dan menghantar arahan dari stereng.

Pemacu elektrik atau dipanggil sebagai unit maklum balas tork, meniru rasa stereng semula jadi dan memberikan maklum balas dari jalan raya.
Sistem ZF melaras nisbah stereng secara berasingan agar nisbah darjah atau sudut stereng kepada sudut roda disesuaikan secara optimum untuk kelajuan pemanduan dan situasi yang berbeza.
Teknologi ini membolehkan pembangunan stereng baharu yang lebih kompak dan lebih mudah untuk pemandu di dalam operasi meletakkan kenderaan dan pemanduan perlahan.
Digabung bersama sistem pembelokan roda belakang mekatronik Kawalan Kinematik Aktif (AKC) ZF, teknologi ini memberikan peningkatan keselesaan yang ketara bagi EV dengan jarak roda yang panjang.

Keseronokan pemanduan juga dapat dikekalkan kerana rasa stereng boleh dilaras daripada sporti kepada langsung atau selesa dan bersahaja.
Rekaan tanpa turus stereng juga meningkatkan keselamatan pemandu sekiranya berlaku kemalangan.
Teknologi ini merupakan lanjutan atau evolusi daripada stereng kuasa elektrik dan sesuai untuk EV dan automatik.
Selain NIO, ZF turut memaklumkan stereng drive-by-wire turut digunakan oleh satu lagi jenama kereta global dan syarikat turut menerima pesanan dari pelanggan di Eropah.















