
SUSPENSI AKTIF NIO ET9 BOLEHKAN KERETA INI BERGELEK SAKAN – NAK BUAT JUGALAH KAT ALZA
EV moden nampaknya mempunyai pelbagai kebolehan baharu selain dari bergerak dengan senyap. Bukan semua EV tapi contohnya EV kelas premium macam Nio ET9 ni. Dalam satu video yang disiarkan oleh Weibo jelas menunjukkan saingan tesla Model S ini menggunakan sistem suspensi aktif yang dinamakan “Sky Ride” membersihkan badannya dari tompokan salji tanpa bantuan manusia. Macam anjing lepas mandi pun ada kan?

Ia berlaku hanya beberapa bulan selepas Porsche menyiarkan video CGI Panamera mereka yang sedang ‘menari’. Nio terus bertindak dan membangunkan sistem suspensi aktif dengan kegunaan yang lebih munasabah.
Dengan menggunakan penyerap hentak yang dikawal secara berasingan, prototaip ET9 yang masih memakai samaran camo menggoncangkan badannya untuk membersihkan diri dari selimut salji. Pergh… terkejut pakcik-pakcik nak ke masjid untuk solat subuh kalau macam ni.
Sistem chasis pintar Nio ini digelar Sky Ride dan ia menggunakan empat pam hidraulik yang setiap satu mengawal tayar-tayar yang berbeza. Selain mengoncangkan badan kereta macam dalam video ia juga boleh menstabilkan kedudukan kereta sewaktu melalui permukaan yang tidak rata.
Ini boleh disaksikan dalam video lain di mana Nio ET9 mengambil peranan seorang pelayan yang membawa piramid gelas-gelas minuman sambil bergerak di atas bomggol jalan. Akhir sekali ialah video bertajuk “high-frequency vibration test” yang menunjukkan tayar-tayar Nio bergerak naik turun tanpa menjejaskan keadaan di dalam kabin.
Nio ET9 mula dipertontonkan pada Disember lepas sebagai model flagship dan bakal bersaing dengan model terkenal lain seperti Mercedes EQS, BMW i7, Porsche Panamera, Tesla Model S dan Lucid Air. Penghantaran bakal dimulakan pada tahun hadapan dan rasa-rasa korang berminat tak dengan kereta ini dibandingkan dengan model premium sedia ada lain?


