Buletin

ZF REKA BEG UDARA YANG GELEMBUNG DI BAHAGIAN LUAR KENDERAAN

Pembekal alat ganti kenderaan, ZF kini dilaporkan sedang berusaha untuk menjadikan impak kemalangan dari arah sisi kurang berbahaya.

Bagi merealisasikan visi tersebut, ZF membangunkan prototaip sistem beg udara yang unik. Dalam satu klip video, sebuah Opel Insignia dilanggar dengan kereta dummy, tetapi beberapa saat sebelum pelanggaran berlaku, satu beg udara diaktifkan dan menyerap impaknya.

Sistem tersebut menggunakan kombinasi kamera, radar dan lidar (teknik mengukur jarak menggunakan lazer) untuk mengenal pasti kemungkinan pelanggaran dan mengaktifkan beg udara tepat pada masanya.  

Algoritma di dalam sistem perisian akan menentukan sama ada pelanggaran akan berlaku atau sebaliknya. Jika pelanggaran tidak dapat dielakkan, sistem akan menghidupkan inflator dan mengembungkan beg udara.

Beg udara itu mempunyai kapasiti di antara 280 hingga 400 liter (lima hingga lapan kali lebih besar berbanding beg udara pemandu) dan bergantung kepada jenis kenderaan. Ia akan mengembung pada bahagian sisi kereta untuk membentuk satu zon remuk tambahan di antara tiang A dan C.

Di Jerman, pelanggaran dari arah sisi menyumbang kepada hampir satu pertiga kematian. ZF mendakwa sistem beg udara baharunya itu mampu mengurangkan keseriusan pelanggaran sehingga 40 peratus.

Namun begitu, ini hanyalah prototaip dan lebih banyak ujian perlu dilakukan. Jika ia terbukti berkesan, tidak mustahil teknologi ini bakal diaplikasikan oleh banyak pengeluar kenderaan.  

Tags
Google ads
Back to top button