
SUZUKI CARRY – INILAH DIA RAJA PIKAP DI INDONESIA
Segmen kenderaan Pikap, dianggap sebagai antara nadi pengangkutan bagi negara Indonesia bagi tujuan mengangkut barangan keperluan di seluruh pelusuk Indonesia, terutamanya di kawasan Tanah Jawa, Sumatera mahupun Kalimantan. Dan wujud sebuah model Pikap yang menjadi kegemaran rakyat Indoensia, Suzuki Carry.
Model yang dipaparkan ini adalah sebuah generasi Suzuki Carry yang terbaharu, telah dilancarkan pada tahun 2019 yang lalu. Berbeza dengan model Suzuki Carry yang dipasarkan secara global, Suzuki Carry yang dipaparkan ini adalah merupakan lanjutan daripada generasi kesebelas. Dan menariknya, Suzuki Carry ini adalah merupakan hasil buatan Indonesia melalui PT Suzuki Indomobil Motor bagi menggantikan model Suzuki Carry Futura dan Suzuki Mega Carry (model daripada Suzuki APV) yang khusus untuk jualan di Indonesia.

Sedikit sejarah untuk diimbau, Suzuki Carry ini telah mula berada di pasaran Indonesia pada tahun 1976 lagi dan khabarnya juga jumlah unit yang telah terjual menjangkau sehingga ke 1,254,185 unit sehingga tahun 2018 sahaja. Suatu jumlah yang bukan calang – calang. Malah rekod penjualan model Mega Carry juga mencecah ratusan ribu unit. Cukup untuk membuktikan bahawa ianya adalah Raja Pikap di sana.
Ternyata kehadiran Suzuki Carry terbaharu ini berjaya meneruskan legasi Raja Pikap yang dipegang selama ini, walau pun kebelakangan ini wujud beberapa saingan seperti daripada model Daihatsu Grandmax. Dan tahukah anda bahawa model Suzuki Carry ini merupakan penyumbang utama terbesar kepada Suzuki Indonesia bagi rekod jualan kenderaan semenjak sekian lamanya. Maka sewajarnya Suzuki Carry yang baharu ini telah diperkenalkan kepada pasaran.

Jelas sekali Suzuki Carry baharu ini kelihatan lebih besar dan luas, terutamanya membabiskan ruangan belakang bagi membawa muatan. Disebabkan kelebarannya, maka bolehlah dibawa tiga orang penumpang di ruangan kabin. Terima kasih kepada tombol gear yang diletakkan di bahagian atas papan pemuka. Untuk kenyamanan, radio dan pendingin hawa turut diberikan walau pun ianya merupakan sebuah Pikap ringan yang cukup asas.
Nadi utama Suzuki Carry ini kini digalas daripada enjin K15B, unit yang sama juga boleh didapati pada model Suzuki Ertiga. Sudah tentu enjin bersesaran 1.5 liter ini dirasakan cukup berkuasa untuk menggerakkan Suzuki Carry ini, apatah lagi ketika dipenuhi dengan muatan di dek belakang dengan keupayaan membawa muatan sehingga 1 tan.
Lantas, berapa harga jualannya di sana? Suzuki Carry ini dijual pada harga serendah Rp. 152,500,000 (RM45111). Harga pun murah. Tahan lasak. Selayaknya Suzuki Carry ini menjadi Raja Pikap Indonesia!
BACA : SUZUKI LANCAR CARRY LUXURY DI INDONESIA. APA YANG MEWAHNYA TRAK PIKAP KECIL NI?