Buletin

SUZUKI LANCAR CARRY LUXURY DI INDONESIA. APA YANG MEWAHNYA TRAK PIKAP KECIL NI?

Suzuki baru-baru ini memperkenalkan varian trak mini yang dikatakan lebih mewah ke pasaran Indonesia.

Dikenali sebagai Suzuki Carry Luxury, ia dijana oleh enjin berkapasiti 1.5-liter yang mampu menghasilkan kuasa 94hp dan tork 135Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan.

Sekali pandang, trak itu jelas tidak menunjukkan sebarang unsur mewah atau eksklusif. Namun, Suzuki memberitahu beberapa aksesori dan kemasan telah ditambah untuk menjadikannya lebih menarik.

Pada bahagian luar, jentera itu dipadankan dengan gril yang kelihatan seperti model Suzuki Vitara. Bumper hadapan juga sudah dicat, sedangkan varian standard dibiar tidak dicat. Bagi menaikkan penampilan trak pikap kecil ini, terdapat stiker pada bahagian sisi dengan tulisan Suzuki pada bahagian belakangnya.

Suzuki Carry juga mendapat kemasan krom pada bahagian gril hadapan, hendal pintu dan perumah cermin sisi. Tidak ketinggalan, penutup rim besi juga menerima kemasan krom.

Dari segi kelengkapan, ia sama sahaja dengan varian standard Carry. Ruang kabinnya dilengkapi pendingin hawa, kerusi boleh laras, radio single-DIN, stereng kuasa dan banyak ruang penyimpanan barang.

Namun, terdapat juga aksesori tambahan seperti soket 12V, visor pintu, karpet lantai  getah, bekas tayar ganti dan penutup radio dan tray bahagian atasnya.

Carry Luxury yang dipasang di kilang di Bekasi, Jawa Barat didatangkan dalam dua konfigurasi ruang ruang kargo iaitu Wide Deck dan Flat Deck. Walaupun kecil, trak pikap itu dikatakan mampu mengangkut beban lebih 1 tan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button