
MODIFIKASI LUAR BIASA – BAJAJ PULSAR 200 DENGAN ENJIN SUZUKI CARRY 1.0
Dunia modifikasi baik kereta mahupun motosikal memang tidak mempunyai batasan. Asal ada kemahuan dan idea mesti jalan punya. Berfungsi atau tidak itu bukan persoalannya. Eksperimen tu penting. Contohnya modifikasi yang baru kami temui ni, di negara jiran tetangga kita Indonesia. Sebuah motosikal keluaran India, Bajaj Pulsar telah disalin enjin menggunakan enjin Suzuki Carry 1.0-liter. Tak ke pelik tu?
Kacukan enjin kereta dengan motosikal sebenarnya bukan perkara aneh dan kita pun dah biasa baca ataupun lihat. Tapi menyumbat enjin van mini 1.0-liter ke dalam kerangka motosikal 200 cc ni memang pertama kali kami dengar. Kreatif betul pomen kat sana.
Sama seperti mekanik di tempat kita, di sana juga senario modifikasi memang tidak banyak berbeza, setakat tukar enjin, ubah konfigurasi dari selinder tunggal menjadi sebaris memang sudah menjadi kebiasaan. Begitu juga dengan kacukan selinder dan head dari model lain. Malah sebelum ini pun kita pernah lihat modifikasi Yamaha RX-Z menggunakan dua enjin. Tapi yang ni memang unik tuan-tuan.
Jika di Amerika Syarikat atau Eropah, modifikasi sebegini memang jadi makanan diorang tetapi di sebuah kampung di Indonesia?
BACA: TERGUGAT DENGAN BAJAJ RS200, YAMAHA LANCARKAN FAZER 250
Menurut sumber, enjin yang digunakan pada Bajaj Pulsar ini diambil daripada van mini Suzuki Carry yang cukup popular di Indonesia. Ia biasanya digunakan sebagai kenderaan pengangkutan awam ala teksi dan digelar sebagai ‘angkot’.
Pada motosikal ini ia dipadankan dengan kotak gear automatik di mana posisi gearnya sentiasa berada pada kedudukan gear empat (macam mana nak pikap ye?). Penunggang hanya perlu memainkan klac dan pendikit untuk menggerakkan motosikal ini seperti biasa. Kami sendiri pun tidak pasti macam mana kotak gear ini boleh berfungsi sedemikian tetapi jika dilihat dari video yang dimuat naik, ia sememangnya berfungsi seperti sebuah motosikal biasa.
Bayangkan anda tengah menunggang di jalan kampung yang gelap seorang diri tiba-tiba kedengaran bunyi enjin van kecil di belakang. Toleh-toleh tak ada pun, saspen jugak kan? Berdasarkan video ini juga bunyinya memang langsung dah tak macam bunyi enjin motosikal. Dah jadi macam lori kecil pun ada.
Dengarnya juga motosikal ini ingin dijual oleh pemiliknya. Mana-mana yang berminat cubalah cari akaun FB pemiliknya. Kalau tak beli pun mungkin boleh ceduk idea beliau macam mana nak hasilkan motosikal sebegini.