AMGFORCE Sport+
-
Artikel Pilihan
NAK BUNYI V8? BAYAR LA LEBIH. MERCEDES-AMG
Mercedes-AMG mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengekalkan karakter kereta berprestasi tinggi dalam era EV apabila menawarkan sistem bunyi enjin tiruan pada SUV elektrik terbaharunya. Pembeli bukan sahaja perlu memilih varian lebih mahal untuk mendapatkan kuasa lebih tinggi, malah bunyi enjin V8 juga dikhaskan untuk model tertentu. Mercedes-AMG cuba membawa pengalaman pemanduan kereta berenjin pembakaran dalaman ke dalam sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya walaupun tidak mempunyai enjin petrol, SUV berkenaan dilengkapi sistem elektronik yang menghasilkan bunyi seolah-olah ia menggunakan enjin enam silinder atau V8. Bagi varian asas AMG GT 53, sistem tersebut menghasilkan bunyi enjin enam silinder manakala pembeli AMG GT 55 dan GT 63 akan menikmati simulasi bunyi enjin V8. Pendekatan ini secara tidak langsung menjadikan bunyi enjin sebagai sebahagian daripada perbezaan antara varian, selain tahap kuasa yang ditawarkan. Dari segi prestasi, AMG GT 53 menghasilkan kuasa sehingga 536 hp manakala GT 55 menawarkan 805 hp. Untuk varian paling berkuasa, GT 63 pula menghasilkan sehingga 1,153 hp. Angka ini menunjukkan bahawa Mercedes-AMG mahu memastikan SUV elektrik tersebut masih membawa imej prestasi tinggi yang menjadi identiti jenama AMG. Untuk menghasilkan bunyi yang lebih meyakinkan, Mercedes-AMG membangunkan sistem dinamakan AMGFORCE Sport+. Menurut maklumat Mercedes-AMH, sistem ini menggunakan data bunyi yang direkod secara terperinci dan bukannya sekadar menghasilkan bunyi elektronik secara rawak. Proses pembangunan tersebut melibatkan lebih 100 pengukuran menggunakan 16 mikrofon serta beberapa kenderaan rujukan, termasuk Mercedes-AMG GT R generasi C190 yang dilengkapi enjin V8. Data yang dikumpulkan kemudiannya digunakan untuk menghasilkan karakter bunyi enjin yang bersesuaian dengan identiti AMG. Sistem berkenaan juga mampu menyesuaikan bunyi secara masa nyata mengikut situasi pemanduan dan gaya pemandu. Ini termasuk tindak balas ketika kenderaan memecut dan ketika sistem mensimulasikan pertukaran gear. Hasilnya, pemandu masih boleh menikmati pengalaman akustik yang menyerupai kereta berprestasi tinggi walaupun SUV tersebut menggunakan rangkaian kuasa elektrik. Salah satu sebabnya ialah bunyi sudah menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah jenama, khususnya bagi pengeluar kereta berprestasi tinggi seperti Mercedes-AMG. Bunyi enjin V8 misalnya mempunyai karakter tersendiri yang selama ini dikaitkan dengan kuasa, prestasi dan pengalaman pemanduan. Selain itu, sistem bunyi pada kenderaan elektrik juga mempunyai fungsi keselamatan. Bunyi amaran pada kelajuan rendah membantu memberi peringatan kepada pejalan kaki tentang kehadiran kenderaan yang menghampiri. Namun ada pakar berpendapat usaha menghasilkan bunyi enjin tiruan yang semakin kompleks ini turut mencerminkan keinginan pengeluar untuk mengisi kekosongan emosi yang mungkin dirasakan oleh peminat kereta apabila beralih kepada EV.
Read More »

