
INI CERITA SEBENAR BOS RIMAC TERPKASA GUNA PORSCHE 911….
Dalam satu kejadian yang agak luar biasa (CEO) Bugatti Rimac, Mate Rimac dilaporkan terpaksa mengejar sebuah Bugatti Chiron miliknya selepas kereta hypercar itu dicuri dari fasiliti syarikat di Croatia dengan menggunakan sebuah Porsche 911 untuk menjejaki kenderaan bernilai jutaan euro tersebut.
Kejadian ini bermula apabila seorang pekerja melihat sebuah Bugatti Chiron dipandu keluar dari kawasan fasiliti syarikat dalam keadaan mencurigakan. Pekerja berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada rakan sekerja melalui kumpulan perbualan dalaman untuk memastikan sama ada kereta tersebut dibawa keluar dengan kebenaran.
Namun keadaan sudah terlambat apabila mereka menyedari bahawa Chiron berkenaan sebenarnya telah dicuri. Apa yang menjadikan kejadian ini lebih mengejutkan ialah bagaimana pencuri berjaya mendapatkan kereta tersebut. Berdasarkan laporan, Mate Rimac mempunyai tabiat meninggalkan kunci di dalam keretanya yang akhirnya membuka peluang kepada individu berkenaan untuk melarikan sebuah Chiron.
Rakaman kamera keselamatan turut menunjukkan suspek berada di sekitar fasiliti syarikat sebelum menemui kunci yang ditinggalkan di dalam kereta. Dia kemudian masuk ke dalam Chiron dan terus memandu keluar dari kawasan tersebut.
Walaupun sudah menghubungi polis, beliau tidak hanya menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa. Secara kebetulan sebuah Porsche 911 dengan tangki bahan api penuh berada berdekatan, Mate Rimac menggunakan kereta sport tersebut untuk mengejar Chiron yang dicuri.

Pada ketika itu, pencuri sudah mempunyai kelebihan kira-kira satu jam dan dipercayai sedang bergerak menuju ke arah Slovenia. Bagaimanapun, pasukan Bugatti mempunyai satu kelebihan penting iaitu akses kepada sistem telemetri langsung yang dipasang pada Chiron berkenaan.
Sistem tersebut membolehkan mereka memantau maklumat kenderaan termasuk lokasi, kelajuan dan paras bahan api secara masa nyata. Maklumat ini kemudian dikongsikan dengan pihak polis bagi membantu menjejaki pergerakan kereta tersebut. Dengan adanya data berkenaan, pihak berkuasa dapat mengetahui laluan yang digunakan pencuri walaupun Chiron sudah meninggalkan Croatia.
Perjalanan pencuri itu tidak terhenti di Slovenia kerana dia berjaya membawa Chiron memasuki Austria. Pada satu peringkat, paras bahan api semakin berkurangan dan pasukan Rimac berharap suspek akan berhenti di stesen minyak. Suspek akhirnya berhenti untuk mengisi minyak dan memasukkan kira-kira separuh tangki petrol ke dalam Chiron yang menggunakan enjin W16 8.0 liter quad-turbo.
Menurut laporan, suspek turut meninggalkan stesen minyak tanpa membayar bahan api tersebut. Pengejaran akhirnya berakhir apabila pihak polis Austria berjaya memintas dan menahan Chiron berkenaan. Maklumat lokasi yang dikongsi oleh pasukan Bugatti membantu pihak berkuasa mengenal pasti kedudukan kenderaan tersebut.
Selepas ditemui semula, Chiron berkenaan dilaporkan mengalami sedikit kerosakan pada bahagian bampar hadapan tetapi kerosakan itu tidak terlalu serius dan boleh dibaiki. Mate Rimac dilaporkan memilih untuk tidak meneruskan tindakan pendakwaan terhadap suspek kerana berasa simpati terhadap lelaki berkenaan namun ini tidak bermakna suspek terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.
Insiden ini turut menjadi pengajaran kepada Rimac dan pasukannya mengenai aspek keselamatan di fasiliti syarikat. Beliau mengakui bahawa prosedur keselamatan perlu diperketatkan dan tabiat meninggalkan kunci di dalam kereta tidak lagi boleh diteruskan.





