Buletin

TEMPAHAN LEXUS RX 500H F SPORT 2023 KINI DIBUKA. 371PS/460NM, BERMULA RM499K

Selepas pengenalan model Lexus RX 350 Luxury generasi kelima untuk pasaran Malaysia pada Mei lalu, Lexus Malaysia hari ini memperkenalkan pula ketibaan Lexus RX 500h F SPORT 2023. 

Varian hibrid Lexus RX tersebut menggabungkan aspek  praktikaliti serta kemampuan off-road sebuah SUV dengan pengendalian, prestasi, kehalusan dan keselesaan sebuah sedan premium. Ia ditambah dengan kelebihan sistem janaan hibrid yang lebih cekap. 

Pengenalan Lexus RX 500h F SPORT 2023 adalah selari dengan matlamat syarikat untuk mengurangkan emisi karbon dan  memberikan pelanggan penyelesaian mobiliti yang praktikal.

Peralihan ke arah elektrifikasi melalui teknologi hibrid akan diteruskan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang tetap inginkan keseronokan memandu tetapi tidak lagi mahu terlalu bergantung kepada bahan api fosil.

SUV berkenaan dijana oleh sistem hibrid baharu yang terdiri daripada enjin 2.4-liter turbo berkuasa 371PS dan tork 460Nm yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik. Ia turut dilengkapi unit bersepadu eAxle dengan sebuah lagi motor elektrik janaan tinggi, inverter dan kotak gear reduction.

Sistem pacuan itu kemudian digandingkan  dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menyalurkan kuasa ke semua roda melalui kawalan DIRECT4, satu teknologi pacuan eksklusif baharu Lexus.

Teknologi tersebut menawarkan prestasi pacuan semua roda pintar yang menggabungkan kuasa elektrik dan inverter untuk sentiasa mengimbang penyampaian tork antara roda depan dan belakang dengan lebih laju dan tepat berbanding apa yang mampu dilakukan oleh sistem mekanikal. 

Sistem berkenaan juga memberi keutamaan kepada kuasa elektrik berbanding pembakaran enjin, walaupun ketika kereta sedang dikerah kuasanya, menjadikan prestasinya lebih lancar dan dinamik.

Untuk memberikan pemanduan sporty, rekaan suspensi yang menggunakan sistem Dynamic Rear Steering (DRS) baharu diperkenalkan.

Sistem itu menyaksikan suspensi belakang dilaras mengikut tahap roda hadapan untuk memberikan kestabilan pada kelajuan tinggi. 

Ketika dalam kelajuan rendah pula, kedudukan tayar akan bertentang untuk menjadikan belokan ke dalam selekoh dan ruang sempit lebih mudah.

Menawan dari setiap sudut, Lexus RX 500h F SPORT menampilkan rekaan yang ekspresif. Ini boleh dilihat pada rekaan spindle grille yang diapit oleh rekaan lampu utama yang mewah. Ia menonjolkan lagi profilnya yang garang 

Jentera berkenaan dipasang dengan rim bersaiz 21 inci aloi ringan berwarna hitam matte yang dibalut tayar 235/50R21. Ini memberikan keselesaan yang sangat baik di dalam kabin, begitu juga dengan kesenyapan dan cengkaman di permukaan jalan.

Lexus RX 500h F SPORT 2023 dibina di atas platform GA-K (Global Architecture – K) yang memberikan tahap keselesaan, maklum balas serta kelincahan lebih baik ketika memandu.

Jurutera Lexus juga telah mengurangkan berat keseluruhan SUV itu melalui kaedah pemasangan inovatif dengan memanfaatkan aluminium pada bahagian sayap depan. Selain memperbaiki agihan berat depan/belakang dengan lebih baik tanpa berkompromi dengan keselamatan.

Salah satu kelebihan utama platform GA-K adalah ia membolehkan tetapan jarak antara roda dan jarak kelegaan tanah lebih tinggi. 

Rekaan ruang kabin diserlahkan dengan konsep Tazuna dan Omotenashi. Ini membuatkan ruang kabin mewah Lexus RX 500h F SPORT lebih terhubung secara emosi dengan semua butang kawalan berada dalam capaian mudah oleh pemandu dan penumpang.

Lexus RX 500h F SPORT memanfaatkan perincian unik yang membezakannya dengan model RX yang lain. Ini termasuklah tempat duduk yang diperbuat daripada Ultrasuede, balutan kerusi eksklusif daripada bahan mentah tumbuh-tumbuhan.

Kenderaan itu juga dilengkapi kemasan Dark Spin Aluminium dengan efek visual mewah pada papan pemuka dan konsol tengah. 

Untuk memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan, Lexus RX 500h F SPORT menggunakan sistem bunyi Mark Levinson bersama 21 unit pembesar suara dan subwoofer.

Lexus RX 500h F SPORT hadir dengan sistem Lexus Safety System+ yang menampilkan ciri seperti sistem amaran pra-perlanggaran yang dicipta untuk memaklumkan pemandu dan mengambil langkah pencegahan aktif. 

Ia juga juga dilengkapi sistem bukaan pintu elektronik e-Latch yang menggantikan pemegang pintu sebelah dalam dengan suis tekan pada perehat lengan di panel pintu untuk urusan keluar masuk kenderaan lebih mudah.

12 sensor ultrasonik, empat kamera dan sistem Teammate Advance Park nyata membuatkan urusan memarkir kenderaan lebih mudah. Bukan sekadar memaklumkan pemandu jika ada objek berdekatan, malah ia boleh mengendalikan stereng secara automatik, operasi penukaran serta membrek untuk memudahkan lagi parkir di ruang sempit.

Lexus Malaysia menawarkan Lexus RX 500h F SPORT 2023 dalam empat warna iaitu putih, kelabu, hitam dan gangsa. SUV mewah itu boleh dimiliki pada harga bermula RM498,888 seunit, lengkap bersama  jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri hibrid sehingga lapan tahun, juga tanpa had perbatuan.

Tempahan dibuka bermula hari ini (18 Ogos 2023). Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.lexus.com.my 

GALERI

Google ads
Back to top button