
CHERY SAH LANCAR OMODA 5 DAN TIGGO 8 PRO DI MALAYSIA 1H 2023. CKD, BAKAL ADA 30 PENGEDAR
Baru-baru ini, saya sempat menghadiri majlis makan malam bersama individu penting dari pengeluar kenderaan yang berpangkalan di China, Chery. Majlis yang dijalankan dalam mood santai itu mendedahkan beberapa informasi menarik yang harus saya kongsikan dengan anda.
Sedia maklum bahawa selepas meninggalkan pasaran Malaysia lebih 15 tahun, Chery kini kembali dengan produk yang lebih mantap dari semua segi.
Jadi, bersedialah untuk menerima model global pertama Chery iaitu Omoda 5 yang dijangka diperkenalkan pada separuh pertama tahun 2023. Lebih menarik lagi, Malaysia akan menjadi pasaran dengan pemanduan sebelah kanan (RHD) yang pertama mendapat SUV sporty berkenaan.

Berbeza dengan pendekatan pengeluar kenderaan lain yang biasanya akan menawarkan model baharu dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, pembeli Omoda 5 akan terus menerima Omoda 5 buatan tempatan (CKD).
Naib Presiden Chery International dan Presiden untuk pasaran ASEAN, Shawn Xu menyatakan model CBU hanya akan dibawa masuk bagi tujuan pameran dan kegunaan pengedar. Ketika model baharu dilancarkan, Chery dijangka mempunyai sekitar 30 pengedar di Semenanjung Malaysia.
Enggan mendedahkan siapakah yang akan memasang kenderaan Chery di Malaysia, Shawn bagaimanapun memberitahu kilang berkenaan memiliki keupayaan untuk menghasilkan 20,000 hingga 30,000 unit kenderaan setahun. Untuk peringkat permulaan, hasil kilang berkenaan hanya untuk memenuhi keperluan domestik.

Apabila program eksport dimulakan kelak, Malaysia akan menjadi pusat pengeluaran Chery untuk pasaran Asia Tenggara.
Pada Oktober lalu, kami telah dijemput untuk melihat secara dekat di Setia Alam, Selangor. SUV segmen B itu akan bersaing secara langsung dengan model-model seperti Proton X50, Mazda CX-3, Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.
Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter TGDI turbo yang mampu menjana 197PS dan tork 290Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan automatik.

Selain Omoda 5, Chery juga merancang untuk melancarkan SUV flagship mereka iaitu Tiggo 8 Pro ke pasaran tempatan. Ditanya kenapa Tiggo 8 Pro yang dipilih dan bukannya model lebih kecil iaitu Tiggo 4 Pro atau Tiggo 7 Pro, Shawn memberitahu pengenalan Tiggo 8 Pro adalah untuk meningkatkan aspek penjenaman Chery di sini.
SUV tujuh tempat duduk itu menggunakan khidmat enjin 2.0 liter yang dipadankan bersama kotak gear klac berkembar (DCT) 7-kelajuan. Mampu menjana sehingga 250PS dan tork 390Nm, kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan atau pacuan semua roda (AWD).
Melihat kepada reka bentuk, teknologi, sistem keselamatan serta ciri yang ditawarkan oleh Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, tidak mustahil ia mampu menarik minat pengguna. Persoalannya, berapakah harga yang sanggup anda bayar untuk SUV berkenaan?