Buletin

TIADA LAGI PSRT PADA 2022 DAN INI PENCAPAIAN SEJAK 2019

Pasukan perlumbaan motosikal negara iaitu PETRONAS Sepang Racing Team (PSRT) menutup tirai operasi pada penghujung musim Kejuaraan MotoGP Dunia 2021.

Penamatan itu bermakna tiada lagi pasukan PETRONAS Sprinta Racing di dalam kategori Moto3 dan Moto2 dan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT) di dalam MotoGP pada musim 2022.

Apa perancangan seterusnya?

Razlan Razali, Prinsipal Pasukan dan Johan Stigefelt, Pengarah Pasukan akan terus berada di dalam MotoGP bersama pasukan baharu dan rakan penaja dijadual untuk diumumkan pada 16 September di Misano, Itali.

Sempena berakhirnya operasi PSRT, mari kita soroti sejarah ringkas pasukan.

PETRONAS Sepang Racing Team ditubuhkan pada tahun 2018 untuk bersaing di dalam ketiga-tiga kategori Kejuaraan Dunia MotoGP bermula dari musim 2019 ke atas.

Tapi kenapa rasa macam dah lama?

Pasukan ini asalnya bermula dari tahun 2015 iaitu M7 DRIVE SIC Racing Team dan bersaing di dalam kategori Moto3. Di dalam dua musim perlumbaan, pasukan berjaya menduduki dua podium.

Pada tahun 2017 PETRONAS terlibat sebagai rakan penaja (title partner) dan dari sini lahirnya PETRONAS Sprinta Racing yang bersaing di dalam kategori Moto2 pada musim 2018.

Pasukan berkembang lagi dan PSRT ditubuhkan pada tahun 2018 untuk bersaing di dalam semua kategori Kejuaraan Dunia MotoGP bermula musim 2019 dan ke atas.

Pasukan disokong oleh PETRONAS sebagai penaja perdana (title sponsor) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pemilik pasukan untuk ketiga-tiga kategori perlumbaan.

Pasukan menggunakan motosikal Yamaha bagi kategori MotoGP.

PYSRT memulakan musim 2019 dengan baik dan pada pusingan keempat Fabio Quartararo berjaya menduduki petak utama di GP Sepanyol.

Prestasi tersebut sampai ke kemuncak pusingan ketujuh di GP Catalan apabila Fabio Quartararo memperolehi tempat kedua dan podium pertama pasukan.

Secara keseluruhannya, pada musim pertama PYSRT berjaya menduduki tujuh podium dan enam petak utama bersama pelumba Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.

Fabio Quartararo turut berjaya mendapatkan anugerah Rookie of the Year dan Top Independent Rider.

Pada musim kedua atau 2020, prestasi PYRST lebih cemerlang dengan enam kali podium tempat pertama selepas Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo masing-masing menjuarai tiga pusingan.

Podium tempat pertama yang diperolehi adalah kejuaraan sulung pasukan satelit MotoGP Yamaha dalam tempoh lebih 20 tahun.

Musim 2020 menyaksikan Franco Morbidelli menang tempat kedua dalam kategori pelumba manakala PYSRT juga di tempat kedua pasukan.

Musim perlumbaan 2021 menyaksikan lebih sensasi buat PYSRT. Franco Morbidelli menerima rakan baharu, tidak lain tidak bukan ikon perlumbaan motosikal Valentino Rossi dengan tujuh kejuaraan dunia dan ratusan podium.

Penyertaan Valentino Rossi mendapat liputan meluas menyerlahkan lagi nama PYSRT.

Bagaimana pula dengan Moto3 dan Moto2?

Kategori Moto3 musim 2019 menyaksikan PETRONAS Sprinta Racing menang podium tempat pertama bersama John McPhee pada pusingan kelima di GP Perancis.

Pada musim 2021, John McPhee bergandingan bersama Darryn Binder.

Bagi kategori Moto2, PETRONAS Sprinta Racing mencatatkan keputusan terbaik musim 2020 dengan Xavi Vierge menang tempat keempat di Misano manakala Jake Dixon juga pada kedudukan sama di Aragon.

Kedua-dua pelumba kekal pada musim 2021.

Prestasi musim 2021

Setakat artikel ini ditulis, perlumbaan baru berlangsung sehingga pusingan kesembilan dan kedua-dua pasukan berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu podium dan angka tiga menjadi kegemaran.

Darryn Binder dari Moto3 menang tempat ketiga di Qatar, Xavi Vierge dari Moto2 juga menang tempat ketiga di Catalunya dan sekali lagi tempat ketiga oleh Franco Morbidelli di Assen.

Musim 2021 juga menyaksikan Valentino Rossi mengumumkan persaraan setelah berlumba lebih dua dekad.

Sejarah permotoran negara

Walaupun tidak memenangi kejuaraan sepanjang tiga musim, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team dan PETRONAS Sprinta Racing tetap menjadi kebanggaan negara.

Bukan mudah untuk bersaing di peringkat tertinggi dunia dan penyertaan serta pencapaian di dalam sukan ini adalah rekod penting di dalam sejarah permotoran negara.

Google ads
Back to top button