
PENGUMUMAN RASMI ENTITI BAHARU GANTI PETRONAS YAMAHA SRT 16 SEPTEMBER INI- RAZLAN
Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mengesahkan menarik diri daripada menyertai perlumbaan MotoGP, Moto2 dan Moto3 selepas melabuhkan tirai musim MotoGP 2021.
Bagaimanapun, Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali dan Pengarah Pasukan, Johan Stigefelt akan meneruskan perjuangan dalam kategori MotoGP sebagai entiti baharu.
Pengumuman rasmi entiti dan rakan penaja baharu bakal diumumkan di Gran Premio Octo, San Marino e della Riviera di Rimini, Misano pada 16 September ini.
Razlan berkata, strategi utama dalam entiti baharu tersebut adalah untuk menyelamatkan entry MotoGP.

“Langkah tersebut perlu dilakukan kerana agak sukar untuk mendapat semula entry MotoGP ini jika ia dilepaskan begitu sahaja.
“Ia berikutan pada musim hadapan, kita dimaklumkan oleh pihak Dorna terdapat 11 atau 12 entry MotoGP sahaja.
“Ini bermakna bermula musim hadapan dan lima tahun ke hadapan mereka mengehadkan sebanyak 24 pelumba sahaja,” katanya dalam sidang media alam maya.
Dalam pada itu, Razlan menambah, pihaknya masih mengekalkan hubungan baik dengan Yamaha dalam mengharungi musim baharu.
Beliau menjelaskan, perbincangan masih dijalankan berhubung para pelumba dan jentera yang bakal diketengahkan pada musim hadapan.

Katanya, ia berikutan gaji dan perbelanjaan para pelumba akan ditanggung sepenuhnya oleh Yamaha.
“Sejak dua hingga tiga minggu, perbincangan masih berjalan bersama Yamaha dalam mengisi pelumba untuk musim baharu,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, pasukan tersebut masih dengan objektif mencari bakat baharu untuk diketengahkan dalam sukan pemotoran dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Menyentuh mengenai jentera yang bakal digunakan pasukan baharu itu, beliau berkata, Yamaha akan membekalkan jentera mereka untuk mengharungi musim hadapan.
Razlan berkata pasukan baharu tersebut akan menjalani rebranding semula.

“Semua akan berubah termasuk livery, warna jentera pasukan dan banyak lagi. Kita memiliki pengalaman dalam rebranding pada tahun 2018 atau 2019 dahulu.
“Justeru, pengalaman tersebut akan digunapakai dalam rebranding pasukan baharu ini,” katanya.
Pasukan PETRONAS Yamaha SRT telah berjaya merangkul 12 kedudukan petak pertama, 16 podium, serta enam kemenangan di dalam kategori MotoGP, diikuti dengan 1 kedudukan petak pertama dan 1 podium untuk kategori Moto2, serta enam kedudukan petak pertama, 12 podium serta 2 kemenangan diraih dalam kategori Moto3.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kru, pelumba, peminat serta rakan penaja atas sokongan mereka, terutama PETRONAS selaku penaja utama kami, serta Sepang International Circuit dalam membantu pencarian bakat anak Malaysia di dalam sukan permotoran.
“Impian kami adalah untuk meletakkan pelumba Malaysia di podium MotoGP, sayangnya kami tidak dapat mencapai matlamat ini dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.