
TIGA JENTERA KONSEP IKONIK B.A.T DILELONG. JANGKA RAIH SEHINGGA RM83 JUTA
RM Sotheby’s mengumumkan bakal menjual tiga kereta ikonik Berlina Aerodinamica Tecnica (B.A.T) Alfa Romeo yang diperkenalkan di Turin Auto Show pada edisi tahun 1953, 1954 dan 1955.
Kereta konsep yang dikenali sebagai B.A.T 5, B.A.T 7 dan B.A.T 9d merupakan rekaan Franco Scaglione serta kerja tangan Bertone.
Ketiga-tiga jentera dianggap sebagai kereta konsep automotif paling penting dibangunkan dan akan dijual dalam lelongan Contemporary Art Evening pada 28 Oktober nanti.

Scaglione mereka jentera konsep pertama, B.A.T 5 untuk memaksimumkan aliran udara.
Pada waktu itu, rekaan aerodinamik unik diterjemahkan pada kenderaan tersebut tidak dapat dilihat pada jentera lain.
Ia mendapat sentuhan warna kelabu gelap dan diperkenalkan pada khalayak pada bulan Mei 1953 di Turin Auto Show.
Jentera konsep berkenaan telah dijual kepada pengimport berasal dari Amerika Syarikat (AS), Stanley Arnolt pada bulan Oktober tahun sama ia dipertontonkan kepada orang ramai.

B.A.T 5 dibeli Joe Pyrsak daripada Arnolt dan menyimpannya kira-kira selama 30 tahun.
Pada tahun 1987, B.A.T. 5 dijual pula kepada pengumpul di California dan telah dibaik pulih selama setahun sebelum dipamerkan di Pebble Beach Concours d’Elegance pada Ogos 1988.
Dalam pada itu, B.A.T 7 menggunakan gear yang sama seperti Alfa Romeo 1900.
Scaglione mengecilkan ruang kemasukan udara, menurunkan tinggi badan kereta lebih dari dua inci dan memanjangkan tailfin.

Kereta konsep ini mempunyai drag coefficient yang sangat rendah iaitu hanya 0.19. Ia lebih rendah berbanding kereta produksi masa kini.
Selepas diperkenalkan di Turin Auto Show, kereta ini dimiliki oleh Alfa Romeo pada tahun 1955 dah dihantar ke Amerika Syarikat untuk dipamerkan di New York Auto Show dan Chicago Auto Show.
B.A.T 7 telah dimiliki oleh beberapa pemilik selama bertahun-tahun malah fins bahagian belakang dicabut kerana mengganggu penglihatan. Ia dipasang semula pada tahun 1980-an.

Jentera terakhir, B.A.T. 9d mula dipertontonkan di Turin Auto Show pada tahun 1955.
Alfa Romeo ingin kereta konsep terbaharu ini lebih praktikal untuk kegunaan di jalan raya.
Scaglione memendekkan tailfin dan memasang gril depan menyamai seperti Alfa Romeo.
Menurut anggaran pra-lelong RM Sotheby, kesemua kereta konsep ini dijangka meraih harga AS$14 juta (RM58.3 juta) sehingga AS$20 juta (RM83.2 juta) apabila dilelong kelak. – carscoops