Artikel Pilihan

ITALIAN TAK PRAKTIKAL LANGSUNG – ALFA ROMEO 4C

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang perihal sebuah jentera yang boleh dikatakan eksotik. Jentera tersebut merupakan jentera kelahiran Itali iaitu Alfa Romeo 4c.

Alfa Romeo merupakan satu jenama besar di dalam dunia automotif. Walaupun di Malaysia tak popular, namun jenama ini mempunyai nama yang gah di seantero dunia.

Jentera ini dilahirkan pada tahun 2013 di Modena, Itali. Ia berkongsi kilang pengeluaran bersama Maserati. Jentera ini direka oleh Mr. Marco Tencone. Beliau juga orang yang bertanggungjawab mereka jentera Alfa Romeo Giulia dan Maserati Quattroporte (2012).

Baiklah, kita masuk kepada perihal jentera ini.

Jentera ini menggunakan rangka cesi yang diperbuat daripada “Carbon Fibre”. Rangka ini dibuat oleh pihak Tecno Tessile Adler (TTA) yang berpangkalan di Airola, Itali. Teknologi ini juga diaplikasikan oleh pengeluar-pengeluar “Supercar” yang lain.

Rangka “Carbon Fibre” ini seterusnya digabungkan dengan unit “Subframe” depan dan belakang yang diperbuat daripada Alumunium. Penggunaan material seperti ini adalah kerana pihak Alfa Romeo mahu jentera ini ringan seringannya.

Hasilnya, berat total cesi jentera ini hanyalah 107kg sahaja. Bahagian luar badan jentera ini pula menggunakan material “Sheet Moulding Compound”(SMC) dimana material ini adalah sama kuat seperti keluli dan lebih baik dari Alumunium dan lebih ringan.

Sistem suspensi jentera ini menggunakan jenis Double Wishbone pada bahagian hadapan dan Topang McPherson pada bahagian belakang. Sangat unik.

Konfigurasi ini membuatkan nisbah berat pada bahgian hadapan sebanyak 38% dan 62% pada bahagian belakang. Jentera ini juga dilengkapi dengan “Sway Bar” yang tebal sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang mantap walaupun ketika dipandu dalam keadaan yang ekstrem.

Pihak Alfa Romeo juga menyatakan jentera ini hampir tiada “Body Roll” ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Sistem brek jentera ini dilengkapi oleh Rotor bersaiz 305mm beserta angkup brek 4-piston pada bahagian hadapan dan Rotor bersaiz 292mm beserta angkup brek 1-piston pada bahagian belakang. Semestinya dibekalkan oleh Brembo. Sistem brek ini sangat meyakinkan di mana ia mampu memberhentikan jentera ini ketika kelajuan 100km/h hanya pada 36 meter sahaja.

Sistem brek ini seterusnya dilindungi oleh set Rim bersaiz 18 inci pada bahagian hadapan dan 19 inci pada bahagian belakang. Set Rim ini dibalut oleh tayar Pirelli P Zero.

Seterusnya kita pergi pada bahagian penjanaan kuasa jentera ini.

Jentera ini dilengkapi oleh enjin 4 silinder turbo bersesaran 1,742cc(1.75L). Enjin ini terletak di ruang tengah jentera. Kuasa yang dapat dihamburkan pula adalah 237bhp pada 6,000rpm dan daya kilas sekuat 350Nm pada 2,100-3,750rpm.

Kuasa yang dihamburkan dihantar ke kotak gear “Dual Dry Clutch” 6-kelajuan dan seterusnya ke tayar belakang. Gabungan kuasa enjin serta sistem transmisi ini sangat memberangsangkan apabila jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya dalam 4.2 saat sahaja. Kelajuan tertinggi yang direkodkan pula adalah 258km/h.

Walaupun angka kuasa outputnya kelihatan kecil, namun harus diingat bahawa jentera ini hanya seberat 895kg sahaja. Lebih ringan daripada Perodua Myvi Tuan-Tuan sekalian.

Disebabkan itu juga lah pihak Alfa Romeo tidak memasang sistem “Power Steering” pada jentera ini bagi memastikan pemandu dapat merasakan “Steering Feel”. Paut Steering ye Tuan-Tuan, bukan Power Steering.

Bahagian dalaman jentera ini sangat ringkas. Tiada skrin infotainment diberikan sebaliknya hanyalah “CD Player/FM Radio” biasa sahaja dengan pilihan naik taraf ke jenama “Alpine”.

Tombol kawalan penghawa dingin menggunakan jenis analog dan bukannya skrin sesentuh. Roda Stering juga hanya menempatkan unit “Paddle Shifter”, hon dan juga beg udara. Tiada butang kawalan pada roda stering.

Butang kawalan cermin serta gear terletak di bahagian tengah. Butang kawalan gear ? Ye Tuan-Tuan, jentera ini tidak mempunyai “Stick” mahupun tuil gear. Yang ada hanyalah butang A/M, 1, N dan R sahaja. Jika pilih mod manual, penukaran gear dilakukan dengan menekan tuil “Paddle Shift”. Jika nak “Reverse”, tekan butang “R”.

Kapasiti ruang kargo jentera ini hanyalah sebesar 110 liter sahaja. Cukup untuk memuatkan beberapa beg kecil sahaja. Mungkin ada yang ingat jentera ini seperti Porsche Cayman/Boxster yang mempunyai ruang kargo di bahagian hadapan dan belakang. Tetapi tidak.

Ruang kargo hanyalah di belakang. Bahagian depan nampak seperti boleh dibuka, namun tidak sebenarnya. Wayang je. Tipu je. Acah-acah je. Ni saya pun tak faham.

Kerusi penumpang dan pemandu direka untuk memegang kemas bahagian pinggang dan bahu. Namun ia mempunyai “padding” yang sangat minima. Pelarasan yang boleh dilakukan pula adalah pada tahap yang sangat minima. Justeru membuatkan pemandu cepat penat jika memandu dalam jarak yang jauh.

Secara jujurnya, bagi saya jentera ini lebih sesuai dipandu pada hujung minggu dan di trek berbanding dipandu secara harian.

Kenapa tidak digalakkan untuk memandu jentera ini secara harian ? Di sini saya “point” kan kekurangannya :-

  • Kedudukan kerusi yang tidak ergonomik
  • Pemandu dan penumpang akan cepat “Cramp”
  • Kekurangan sistem hiburan
  • Ruang kargo yang terhad
  • Tiada “Reverse Camera”
  • Tiada “Power Steering”

Bab tiada “Reverse Camera” dan “Tiada Power Steering” tu pun dah pening Tuan-Tuan. Kena pula tempat yang kita nak pergi tu ada “Side Parking” sahaja. Naya. Memang boleh, tapi tak sesenang memandu jentera “biasa”.

Namun jika dipandu di dalam trek, fuhh. Jentera ini memang lincah. Enjin yang responsif dibantu pula dengan pengendalian yang mantap, ia mampu memalukan “Supercar” jika dipandu dengan betul. Ia boleh dikatakan buas namun senang dijinakkan. Sangat seronok untuk dipandu. Pengalaman pemanduan yang anda akan rasa ketika memandu jentera ini tidak akan dapat pada jentera lain.

Jentera ini juga wujud di negara kita. Ia dibawa oleh pengedar-pengedar jentera Recond. Dengan tag harga sekitar RM370,000, hanya yang berjiwa kental sahaja layak untuk memiliki jentera ini.

Lagipun, mana je jentera buas buatan Itali pernah selesa ? Kalau anda pernah naik Ferrari F430 dan Lamborghini Gallardo pasti akan faham. Nak tercabut pinggang rasanya.

Tags
Google ads
Back to top button