
ALFA ROMEO DAN MASERATI BERSATU, RANCANGAN RAHSIA AKAN DIUMUM 23 JUN
Stellantis kini berada di persimpangan penting dalam usaha menyelamatkan dua jenama Itali yang penuh warisan iaitu Maserati dan Alfa Romeo daripada terus terjerumus ke lembah kejatuhan.
Jualan Maserati menjunam lebih 57 peratus tahun lalu, menyusut kepada hanya 11,300 unit, mencetuskan spekulasi tentang potensi penjualan atau penutupan jenama yang berpangkalan di Modena itu.
Namun, Stellantis menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan jenama mewah berlogo Trident itu.
Sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan, Maserati akan berganding bahu dengan Alfa Romeo, yang turut bergelut dengan prestasi pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua jenama, Santo Filic, mendedahkan bahawa pelan kerjasama telah dirangka dan kini menunggu lampu hijau daripada pucuk pimpinan baharu Stellantis.
Perbincangan akhir dijadualkan berlangsung pada 23 Jun, melibatkan CEO Stellantis, Antonio Filosa, bersama wakil kedua-dua jenama.
Kerjasama ini tidak bermakna kedua-dua jenama akan bergabung secara rasmi. Maserati kekal sebagai jenama mewah, manakala Alfa Romeo berada dalam kategori premium.
Namun, perkongsian ini dijangka melibatkan pembangunan produk secara bersama, selain pengoptimuman dalam aspek lain seperti struktur organisasi, rangkaian pengedar, serta penggunaan kemudahan pengeluaran di Itali.
“Kami menyentuh aspek pembangunan kenderaan, itu antara teras utama dalam rancangan ini,” ujar Filic.
Beliau turut menekankan bahawa banyak lagi komponen lain yang akan diteliti bagi mencari sinergi, mengurangkan kos dan memaksimumkan kecekapan.
Antara cabaran utama yang menjejaskan Maserati ialah kegagalan dalam pemasaran, bukannya kualiti produk, menurut bekas CEO Stellantis, Carlos Tavares.
Penghasilan varian elektrik sepenuhnya MC20 juga dibatalkan selepas kajian pasaran mendapati pelanggan sasarannya masih mengutamakan enjin pembakaran dalaman.
Sementara itu, pelancaran model Quattroporte generasi baharu yang dijangka menggantikan Ghibli, telah ditunda sehingga 2028.
Alfa Romeo pula berdepan kesukaran dalam melancarkan model generasi baharu Stelvio dan Giulia. Perancangan asal yang hanya memfokuskan kepada varian elektrik telah diubah – kini kedua-duanya juga bakal hadir dengan pilihan enjin pembakaran.
Strategi baharu ini menandakan perubahan haluan Alfa daripada pendekatan ‘EV sahaja’ kepada strategi yang lebih fleksibel, sejajar dengan tren industri automotif global masa kini.