
WRC 2022 – THIERRY NEUVILLE & HYUNDAI CEMERLANG DI RALLY GREECE
Pelumba handalan pasukan Hyundai Motorsports, Thierry Neuville berjaya memenangi perlumbaan di EKO Acropolis Rally Greece. Pelumba yang berasal dari Belgium itu berjaya merampas pendahulu perlumbaan daripada juara WRC sembilan kali Sebastian Loeb yang mengalami masalah alternator pada hari Sabtu.
Selepas detik yang mengecewakan melanda Sebastian Loeb itu, ternyata Thierry Neuville langsung tidak menoleh lagi untuk mengekalkan penguasaan sekali gus untuk muncul juara. Menariknya tentang perlumbaan di Rally Greece ini, pasukan Hyundai berjaya untuk menguasai podium 1- 2- 3. Podium kedua menjadi milik Ott Tanak yang ketinggalan hanya 15 saat.

Sebetulnya Ott Tanak suatu ketika berjaya merapatkan jurang sehingga 2.9 saat sahaja namun atas arahan pasukan, kedudukan itu harus dikekalkan demi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk yang boleh terjadi.
Dan podium ketiga pula direzekikan Tuhan sekali lagi kepada Dani Sordo untuk merasa kemanisan sebuah kejayaan waima hanya tempat ketiga. Ternyata disebalik kegagalan beberapa pelumba di hadapan memberikan rahmat dan rezeki buat pasukan Hyundai Motorsports.

Tempat keempat keseluruhan menjadi milik pelumba pasukan M-Sport Ford, Pierre-Louis Loubet yang berjaya menampilkan keputusan terbaik beliau setakat hari ini. Rezeki untuk pasukan M-Sport Ford yang seakan tenggelam cemerlang daripada perlumbaan pertama sahaja. Ternyata rezeki juga tidak memihak kepada Sebastian Loeb yang cemerlang pada hari pertama saingan sebelum tidak dapat meneruskan saingan akibat daripada masalah alternator yang melanda.
Seorang lagi pelumba pasukan M-Sport Ford turut berjaya melengkapkan senarai lima pelumba terbaik apabila Craig Breen berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan. Setidaknya keputusan ini berjaya memberikan sedikit khabar gembira pasukan M-Sport Ford ini.

Pasukan Toyota Gazoo Racing juga seakan rezeki tidak memihak kepada mereka apabila jentera Toyota GR Yaris Rally1 yang dipandu Kalle Rovanpera ter-beghetuh dengan pokok yang menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian belakang sewaktu saingan hari Sabtu. Sungguh pun demikian, Kalle Rovanepra masih berupaya memungut empat mata berharga sewaktu Power Wolf Stage dan berupaya mencatat kejuaraan WRC di New Zealand sekiranya berjaya mengatasi Ott Tanak kelak. Malang turut menimpa Elfyn Evans apabila jentera beliau mengalami masalah alternator.
Perlumbaan berikutnya bakal berlangsung di New Zealand pada hujung September nanti.
BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA BERSALJI
BACA : WRC 2022 – OTT TANAK UNGGUL UNTUK MEJUARAI YPRES RALLY BELGIUM