LIMA CIRI TOYOTA SIENTA 2022, DARI RM62K DI JEPUN!
Jika Amerika Syarikat ditawarkan dengan Toyota Sienna, pengguna di Jepun dan sebelum ini di Asia Tenggara dan beberapa negara lain mempunyai Toyota Sienta.
Nama hampir sama namun kedua-duanya mempunyai saiz yang jauh berbeza dengan Sienna adalah MPV besar manakala Sienta pula bersaiz sederhana. Satu yang menarik apabila kedua-dua model memiliki tiga baris tempat duduk.
Terbaru di Jepun Toyota memperkenalkan Sienta generasi ketiga (2022) dengan jualan bermula 23 Ogos.
Apa yang baharu pada Sienta 2022? Berikut disenaraikan lima ciri-ciri termasuk harga:
1. Reka bentuk luaran
Reka bentuk Sienta 2022 masih kekal berkotak yang merupakan identiti sejak tahun 2003.
Secara asasnya Sienta menggabungkan praktikaliti sebuah van kecil, kabin yang luas dan tujuh tempat duduk di dalam saiz badan kompak. Gaya Sienta kali ini mempunyai aura MPV Eropah Fiat Panda.
Setiap generasi Sienta dibangunkan supaya bersesuaian dengan pengguna berkeluarga di Jepun dan turut mengambil kira perubahan nilai pelanggan.
Kakitangan pembangunan Sienta sekali lagi mengambil maklum balas pelanggan dan cuba merungkai apa yang mereka mahukan dalam membangunkan model baharu ini.
Hasilnya ialah dengan mengekalkan ukuran Sienta yang senang dikendali, ciri keselamatan dan sekuriti terbaru, penggunaan bahan api dan harga mampu milik.
Tipikal untuk MPV Jepun sebegini, tingkap dibuat besar untuk ruang penglihatan yang bagus dan kesenangan memandu.
Toyota menggunakan rekaan Shikakumaru bulat dan bersegi. Dari luar boleh dilihat sudut membujur yang membangkitkan penampilan kompak dan bahagian yang bersegi.
Penggunaan pendakap pelindung pada bampar dan pintu menampakkan imej yang rugged.
Ada tujuh warna yang ditawarkan seperti Urban Khaki dan Scarlet Metallic dan gabungan warna dua tona dengan bumbung kelabu gelap.
2. Reka bentuk dalaman
Toyota turut menggunakan rekaan Shikakumaru pada bahagian dalam dan secara keseluruhannya tidak nampak terlalu ringkas.
Untuk keselesaan, sistem peredaran udara siling dipasang bagi menyebarkan udara panas dan sejuk dari penyaman udara ke bahagian kerusi belakang. Penghadang cahaya dipasang pada pintu gelungsur.
Pasukan pembangunan memastikan ruang kabin Sienta 2022 dapat memuatkan tujuh penumpang tanpa mengubah ukuran lebar dan panjang.
Kerusi baris kedua yang banyak diduduki penumpang direka semula bagi mendapatkan lebih ruang untuk kaki dan kepala dan berikut ialah apa yang telah diubah:
- Ketinggian kabin dinaikkan 20 mm
- Jarak depan dan belakang bertambah 80 mm kepada maksimum 1,000 mm
- Bakul barangan boleh diletakkan di bawah kerusi
- Ukuran tinggi lantai kekal 330 mm dan permukaan yang rata
- Bukaan pintu gelungsur berkuasa dipanjangkan kepada 1,200 mm atau pertambahan 60 mm untuk akses yang lebih mudah
- Ketinggian bukaan pintu kargo ditambah kepada 15 mm
- Ketinggian ruang bagasi turut ditambah kepada 20 mm
- Basikal dengan tayar 27 inci boleh dimuatkan tanpa hendal tersangkut di ruang bukaan
- Sienta dengan dua baris tempat duduk (lima penumpang) mempunyai ruang bagasi dengan tinggi bertambah 50 mm
Satu lagi ciri menarik ialah imej piktogram bagi menunjukkan apa yang boleh dimuatkan di dalam ruang simpanan. Ada tiga warna dalaman iaitu Fromage dan hitam dan juga khaki.
Fungsi yang menyenangkan pada Sienta ialah pintu gelungsur bebas tangan dengan pengguna hanya perlu meletakkan kaki di bawah sensor pada bahagian bawah pintu depan.
3. Rangkaian kuasa
Ada dua pilihan iaitu 1.5 liter M15A-FKS tiga silinder dengan kuasa 118 hp pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm dari 4,800 hingga 5,200 rpm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi Direct Shift-CVT dengan 10 kelajuan Sport Sequential Shiftmatic dan memacu dua roda depan.
Satu lagi pilihan ialah 1.5 liter M15A-FXE hibrid dengan kuasa 90 hp pada 5,500 rpm dan tork 120 Nm dari 3,800 hingga 4,800 rpm.
Bateri dengan kuasa 6.5 Ah diletakkan di bawah lantai dan motor elektrik mempunyai output 59 kW (79 hp) dan tork 141 Nm.
Sienta hibrid menggunakan transmisi eCVT dan Toyota turut menawarkan pacuan E-Four dengan motor elektrik dipasang di belakang dan mempunyai kuasa 2.2 kW (2.95 hp) dan tork 44 Nm.
4. Casis dan pengendalian
Sienta 2022 dibina menggunakan platform TNGA (GA-B). Struktur utama disambung bagi menghasilkan kerangka dalam bentuk cincin dan mempertingkatkan ketegaran sambungan.
Kestabilan pengendalian, keselesaan pemanduan dan tahap bunyi ditambah baik melalui penggunaan perekat struktur lekatan tinggi pada bahagian struktur utama dan sebahagian perekat kedap digunakan pada panel bumbung.
Geometri suspensi depan dioptimumkan untuk menghasilkan badan yang tegar. Bahagian depan menggunakan suspensi MacPherson dan torsion beam di belakang.
Putaran pusingan minimum pula hanya lima meter supaya mudah untuk dipandu di jalan sempit dan parkir.
5. Varian dan harga
Di Jepun, Toyota menawarkan Sienta dalam sembilan varian dan dibahagikan kepada tiga model utama iaitu X,G dan Z.
Kesemuanya ditawarkan dalam pilihan lima dan tujuh tempat duduk. Enjin pula ada dua sama ada 1.5 liter biasa atau hibrid yang ekstra dengan pacuan semua roda E-Four.
Tentang harga, varian mampu milik Sienta X 2WD lima tempat duduk dijual pada 1,950,000 yen (RM61,893) dan 3,108,000 yen (RM98,648) bagi varian premium Sienta Z hibrid E-Four tujuh tempat duduk.
BACA: PADA 2019 TOYOTA C-HR GR SPORT DIPERKENAL DI JEPUN, 1.2L TURBO MANUAL DAN 1.8L HIBRID!
BACA: PADA 1994 TOYOTA RAV4 DIPERKENAL, SAIZ TAK SAMPAI 4 METER PUN!
BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH DUA, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG