
ITALJET DRAGSTER 700 VERSI QJMOTOR BAKAL MASUK MALAYSIA?
Baru-baru ini 40 pengamal media tempatan telah dibawa ke China oleh MForce Bike Holdings bagi menyaksikan beberapa tawaran terbaru yang bakal memeriahkan pasaran motosikal di Malaysia.
Ketika lawatan ke kilang QJMotor di Taizhou, media tempatan disajikan dengan pelbagai motosikal untuk sesi tunggang uji dan antara yang tersedia adalah Italjet Dragster 700.

Persoalannya, mengapa skuter dari jenama Itali tersebut berada di kilang QJMotor?
Ini kerana Italjet membangunkan Dragster 700 dengan kerjasama QJMotor. Untuk rekod, Dragster 700 tersebut mengguna pakai enjin sama dengan QJMotor SRT 700 dan Benelli TRK702.
Menariknya, QJMotor sendiri akan mengeluarkan Dragster 700 dengan lencana QJMotor seperti yang telah disahkan menerusi dokumen kelulusan jenis (VTA) yang telah pun difailkan di China sebelum ini.

Namun begitu, ciri utama yang membezakan Italjet Dragster 700 dan QJMotor Dragster 700 adalah pada sistem transmisi. Ini kerana versi Italjet dilengkapi dengan transmisi manual 6-kelajuan manakala versi QJMotor pula mengguna pakai sistem AMT di mana pertukaran gear dilakukan dengan menekan butang tersedia di handlebar. Selain itu, versi QJMotor juga tidak dilengkapi dengan suspensi Öhlins.
Dalam pada itu, kami turut difahamkan orang ramai berkemungkinan dapat menyaksikan Dragster 700 ini dengan lebih dekat ketika MForce Motorshow 2026 yang akan berlangsung Mei depan.

Atas kertas, Dragster 700 dikuasakan enjin parallel-twin 698cc dengan 270-degree crank yang berupaya menjana 68hp pada 8,500rpm dan 70Nm pada 6,000rpm.









