
DONGFENG 007 DAN DONGFENG VIGO DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – LANCAR AWAL 2026
Dongfeng Cars Malaysia baru-baru ini membuka pintu kepada sesi media terpilih untuk melihat lebih awal dua model elektrik terbaharu mereka, Dongfeng 007 dan Dongfeng VIGO.
Sesi pra-tonton eksklusif ini memberi gambaran awal tentang apa yang bakal mewarnai pasaran EV tempatan menjelang pelancaran rasmi pada Suku Pertama 2026.
Unit pratonton ini dibawa masuk oleh Central Auto Distributors Berhad (CADB), pengimport dan pengedar rasmi kenderaan penumpang Dongfeng di Malaysia.

Langkah ini menandakan momentum baharu dalam usaha mereka mengukuhkan kehadiran dalam pasaran EV negara yang semakin rancak.
Dongfeng 007:
Model paling mencuri perhatian sudah tentu Dongfeng 007, yang buat pertama kali muncul di Malaysia. Rekaan fastback yang agresif dan imej sporty sememangnya cukup untuk membuatkan ia jadi tumpuan, tetapi angka prestasi awal yang dikongsi pula lebih mengujakan.

Berdasarkan maklumat global, 007 dijangka menawarkan:
- Kuasa sehingga 400kW
- Tork sehingga 640Nm
- Pecutan 0–100km/j dalam 3.9 saat
Ya, itu angka yang cukup untuk meletakkan 007 dalam kelompok EV prestasi tinggi di Malaysia, segment yang sedang berkembang pesat dengan kehadiran pelbagai model elektrik baharu.
Dongfeng VIGO:

Turut ditayangkan ialah Dongfeng VIGO, sebuah SUV kompak elektrik yang disasarkan kepada mereka yang mahukan mobiliti mesra alam tanpa mengorbankan praktikaliti.
Antara ciri utama yang diketengahkan semasa pra-tonton:
- Jarak pemanduan sehingga 471km (CLTC)
- Konfigurasi 5 tempat duduk
- Pengecasan pantas 30–80% dalam kira-kira 18 minit
Dengan pakej sebegini, VIGO menyasarkan pengguna keluarga serta pembeli EV pertama yang mahukan SUV moden dengan kos pemilikan yang lebih mudah diurus.

Strategi EV pelbagai segmen — Dongfeng semakin agresif
Dengan kehadiran Dongfeng BOX yang sudah pun berada di pasaran, kemunculan 007 dan VIGO menunjukkan strategi CADB untuk menawarkan rangkaian EV dalam pelbagai segmen — daripada model kompak, utiliti keluarga, hinggalah EV berprestasi tinggi.
Ini selari dengan peningkatan minat terhadap mobiliti lestari di Malaysia serta usaha berterusan pemain industri untuk memperluas ekosistem EV tempatan.
Kempen Year End Sales (Y.E.S.):
Sebagai tambahan, Dongfeng Cars Malaysia turut menjalankan promosi hujung tahun untuk Dongfeng BOX.
Pembeli berpeluang menikmati ganjaran sehingga RM30,000, termasuk:
- Portable Charging Device bernilai RM1,088
- Modul storan kabin hadapan bernilai RM1,250
(selagi stok masih ada)
Promosi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif “My 1st EV”, yang bertujuan memudahkan rakyat Malaysia memiliki EV pertama mereka dengan lebih berbaloi dan lebih praktikal.
- BACA: ITALJET DRAGSTER 700 VERSI QJMOTOR BAKAL MASUK MALAYSIA?
- BACA: SUBARU FORESTER KERETA TERBAIK JEPUN 2025-2026, MODEL TANPA HIBRID KINI DI MALAYSIA!
- BACA: CHINA & US TAK NGAM. TAPI KENAPA CHINA BAGI TESLA BUKAK SHANGHAI GIGAFACTORY?
- BACA: NISSAN SERENA e-POWER DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – NADI 1.4L, JANA 163PS

