Buletin

TOYOTA GR SUPRA BAKAL DIHENTIKAN DI AUSTRALIA – TERIMA KASIH DI ATAS KHIDMAT!

Toyota Australia mengumumkan mereka akan menghentikan penerimaan tempahan GR Supra menjelang Ogos 2025.

Pengeluaran model generasi kelima ini akan ditamatkan selepas enam tahun berada di pasaran Australia.

Sejak pelancarannya di Australia pada September 2019, GR Supra telah menarik perhatian pelanggan dengan membawa legasi yang ikonik.

Model ini turut berperanan penting dalam meningkatkan profil TOYOTA GAZOO Racing di Australia.

Naib Presiden Jualan, Pemasaran, dan Operasi Francais Toyota Australia, Sean Hanley, menyatakan bahawa GR Supra semasa akan meninggalkan legasi yang berkekalan dalam industri automotif.

“GR Supra sudah pun mempunyai legasi yang cemerlang apabila generasi kelima dilancarkan pada 2019, dan kami gembira untuk mengatakan ia telah melebihi jangkaan yang ditetapkan oleh pendahulunya,” kata Hanley.

Walaupun pembelian GR Supra tidak lagi dapat dilakukan menjelang akhir Ogos 2025, peminat masih dapat melihatnya beraksi di dalam Kejuaraan Supercars bermula 2026.

Varian dan Spesifikasi

Barisan model GR Supra di Australia terdiri daripada varian GT, GTS dan Track Edition yang baru diperkenalkan.

Kesemua varian tersedia dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

Pelanggan yang berminat untuk memiliki GR Supra digalakkan untuk menghubungi pengedar pilihan mereka secepat mungkin kerana stok adalah terhad.

Varian Track Edition merupakan versi GR Supra yang paling berorientasikan prestasi, menampilkan pelbagai penambahbaikan.

Di antaranya komponen suspensi dan pendakap yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, menjadikannya lebih tangkas dan dinamik.

Ciri-ciri Track Edition seperti kepak aero arka roda hadapan, penutup aerodinamik tayar hadapan yang dinaik taraf, spoiler ducktail gentian karbon, roda aloi hitam kusam 19 inci dan angkup brek warna merah yang lebih besar.

Kesemua model GR Supra dikuasakan enjin 3.0 liter turbo enam silinder sebaris yang menghasilkan output 387 ps dan 500Nm. Kuasa dihantar ke roda belakang dengan bantuan pembeza gelincir terhad.

Sejak diperkenalkan di bilik pameran Australia, GR Supra telah menarik lebih 1,400 pembeli sehingga pertengahan tahun 2025.

Google ads
Back to top button