
TOYOTA VENZA BAHARU MUNCUL 2027 DENGAN GAYA COUPE YANG MENGGIURKAN
Toyota dilaporkan sedang merancang kejutan besar dalam barisan SUV kompaknya dengan kemunculan semula model Venza generasi baharu yang dijangka dilancarkan pada tahun 2027.
Model ini bakal menjadi alternatif bergaya coupe kepada RAV4, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen yang kian kompetitif.
Menurut laporan dari Jepun, model baharu ini akan mengambil ilham daripada Harrier generasi seterusnya, SUV pasaran Jepun yang lebih berkelas premium dan sebelum ini dikenali sebagai model kembar kepada Venza untuk pasaran Amerika Utara.
Berbanding pendekatan kasar dan berkotak RAV4, Harrier/Venza baharu dijangka tampil dengan reka bentuk lebih anggun dan aerodinamik, mendekati gaya SUV coupe mewah seperti BMW X4, Mercedes-Benz GLC Coupe, dan Audi Q5 Sportback.

Panjang keseluruhannya mencecah sekitar 4,750mm dengan jarak roda 2,770mm, iaitu 80mm lebih panjang berbanding model semasa. Manakala ketinggian pula dihadkan kepada 1,550mm untuk memberikan siluet lebih sporty dan rendah.
Toyota juga dijangka mengekalkan platform TNGA-K yang turut digunakan oleh model-model terkenal seperti Lexus RX, Toyota Highlander dan Crown Sport. Namun, kemas kini ke atas platform tersebut dijangka membawa peningkatan dari segi pengendalian dan keselesaan.
Di dalam kabin, Harrier/Venza generasi baharu dijangka menawarkan suasana lebih mewah daripada RAV4, dengan bahan berkualiti tinggi dan teknologi terkini.
Skrin infotainmen sebesar 12.9-inci dengan ciri sambungan dan kemas kini perisian secara atas talian (OTA) menjadi antara penambahbaikan yang dijangka disertakan.
Untuk pasaran Jepun, Harrier baharu bakal hadir dengan enjin 1.5-liter turbo empat silinder yang ditawarkan dalam versi hibrid dan plug-in hibrid.
Enjin baharu ini dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan bahan api serta prestasi sambil mengekalkan fokus Toyota terhadap elektrifikasi.
Bagi pasaran Amerika Utara pula, Venza dijangka kekal sebagai model hibrid sahaja, seiring dengan pendekatan semasa RAV4 Hybrid dan RAV4 Prime.
Versi pacuan hadapan mungkin akan menawarkan kuasa sekitar 236hp, manakala varian pacuan semua roda (AWD) mampu mencecah 320hp.
Pelancaran model baharu ini pada asalnya dijadualkan sekitar tahun 2026. Namun, berikutan penangguhan projek akibat siasatan dan skandal keselamatan melibatkan Toyota di Jepun, tarikh pelancaran telah dianjakkan ke tahun 2027, tepat tujuh tahun selepas Venza generasi kedua dilancarkan.