
TOYOTA GR HIDUPKAN SEMULA KOMPONEN AE86, KINI DENGAN SENTUHAN MODEN
Minat terhadap kereta klasik semakin meningkat di seluruh dunia, dan Toyota tidak mahu ketinggalan dalam arus itu.
Melalui program GR Heritage Parts, syarikat Jepun ini memperluas senarai komponen gantian dengan menawarkan bahagian enjin baharu untuk model legenda AE86 Corolla Levin dan Sprinter Trueno.
Dua bahagian utama yang kini kembali ditawarkan ialah cylinder head dan cylinder block sub-assembly untuk enjin 4A-GE 1.6 liter DOHC 16-valve, jantung yang pernah menjadikan AE86 satu ikon antara tahun 1983 hingga 1987.

Walaupun mengekalkan spesifikasi asal, komponen tersebut telah diperbaharui menggunakan teknologi simulasi moden, kaedah pembuatan terkini dan bahan yang lebih tahan lama.
Pada bahagian cylinder head, Toyota menambah baik aspek kejuruteraan dengan kerja mesin tambahan yang mengurangkan permukaan tuangan asal, lapisan baharu pada saluran masuk, serta penggunaan cam cap knock pins.
Beberapa bahagian pada saluran masuk dan ekzos juga kini hadir dengan dinding yang lebih tebal untuk ketahanan tambahan.

Sementara itu, cylinder block mendapat proses honing baharu bagi meningkatkan ketepatan pembuatan.
Bahan besi tuang berketeguhan tinggi digunakan untuk kekuatan tambahan, manakala struktur crank-cap turut diubah suai berasaskan simulasi bagi meningkatkan daya tahan.
Menariknya, blok enjin ini bukan sahaja sesuai untuk AE86 pacuan roda belakang, malah juga boleh dipasang pada model pacuan roda hadapan seperti Corolla FX-16, hasil penambahan bosses dan ribs bagi pemasangan melintang.

Toyota turut merancang mempamerkan AE86 yang dilengkapi komponen baharu ini di acara “Initial D 30th Anniversary 2days” di Fuji Speedway pada 13 dan 14 September. Pengunjung yang hadir juga boleh membuat tempahan awal di lokasi tersebut.
Komponen enjin baharu ini dijadualkan mula dijual pada Mei 2026, dengan harga akan diumumkan kemudian.
Ketika ini, katalog GR Heritage Parts sudah menawarkan lebih 200 komponen untuk lapan model klasik Toyota termasuk beberapa generasi Land Cruiser (J40, J60, J70, J80), Supra A70 dan A80, model ikonik 2000GT, serta AE86 Trueno dan Levin.
- BACA: KENAPA KERETA SPORT & SUPERCAR GUNA “GAM UHU” UNTUK CASIS?
- BACA: MERCEDES-BENZ C 200 AMG LINE DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM292K
- BACA: MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR AMG CLE 53 4MATIC+ COUPÉ DAN CLA 45 S 4MATIC+ COUPÉ FINAL EDITION
- BACA: HUSQVARNA 701 SUPERMOTO, 701 ENDURO 2026 DIUMUMKAN – 79HP, 73NM






