Buletin

TOYOTA HIACE 2026 AUSTRALIA LEBIH CANGGIH

Toyota HiAce, van komersial kegemaran ramai di Australia dipertingkat dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan teknologi terkini.

Model yang dinaik taraf ini dijangka tiba di Australia pada hujung Ogos, dan ia menawarkan penambahbaikan yang relevan terutamanya untuk pengguna komersial yang banyak menghabiskan masa di jalan raya.

Sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense kini dipertingkat dengan Bantuan Pengesan Lorong (Lane Trace Assist).

Fungsi ini membantu HiAce kekal berada di tengah lorong apabila Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) diaktifkan.

Selain itu, semua varian HiAce baharu dilengkapi sistem sokongan pemandu kecemasan (emergency driver support system).

Sistem ini berfungsi bersama Bantuan Pengesan Lorong untuk mengesan jika pemandu tidak responsif semasa Kawalan Jelajah diaktifkan.

Jika pemandu tidak memberi tindak balas selepas amaran visual dan audio, sistem ini akan mengaktifkan lampu kecemasan dan memberhentikan kenderaan dengan selamat.

Bantuan keluar selamat (Safe Exit Assist) juga diperkenalkan. Sistem ini berhubung dengan Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor) untuk meningkatkan keselamatan apabila keluar dari kenderaan di sisi jalan.

Sistem akan mengeluarkan amaran apabila mengesan kenderaan atau penunggang basikal yang lalu.

Fungsi Kawalan Jelajah juga dipertingkatkan. Varian manual kini mempunyai keupayaan adaptif berkelajuan tinggi, manakala varian automatik menampilkan fungsi kelajuan penuh.

Ciri-ciri keselamatan aktif baharu ini melengkapkan sistem sedia ada yang terdiri daripada Lampu Tinggi Automatik (Automatic High Beam) dan Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Alert).

Turut merangkumi Sistem Keselamatan Pra-Perlanggaran (Pre-Collision Safety System) dan Bantuan Papan Tanda Kelajuan (Speed Sign Assist).

Keselamatan pasif juga dipertingkatkan dengan penambahan beg udara tengah, menjadikan jumlah beg udara keseluruhan kepada lapan.

Varian LWB Crew (Jarak Roda Panjang) dengan dua baris tempat duduk menerima tambahan dua beg udara sisi, menjadikan jumlahnya 10.

Fungsi Bantuan Pengesanan Lorong dibantu oleh pengenalan stereng kuasa elektrik, yang menjadikan pemanduan HiAce lebih mudah dan selesa berbanding sebelum ini.

Semua varian kini dilengkapi kluster instrumen digital 7.0 inci baharu dengan sembilan paparan yang boleh dipilih oleh pemandu.

Selain itu, bahan penyejuk baharu diperkenalkan untuk meningkatkan prestasi penghawa dingin. Brek parkir elektrik kini ditawarkan pada semua varian kecuali van LWB manual varian asas.

Dari segi luaran, HiAce kekal tidak banyak berubah, kecuali cermin sisi luaran berwarna hitam baharu dan dua pengelap belakang baharu untuk Van SLWB yang dilengkapi pilihan pintu belakang bukaan sisi (barn door).

HiAce ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi termasuk jarak roda panjang (LWB) dan ekstra panjang (SLWB), pintu belakang panel atau kaca, serta pintu belakang angkat atau jenis bukaan sisi.

Semua varian HiAce dikuasakan enjin diesel 2.8 liter empat silinder turbo.

Enjin menghasilkan kuasa maksimum 177 ps dan tork 450Nm, yang dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik enam kelajuan.

Varian van LWB asas juga tersedia dengan transmisi manual enam kelajuan yang menawarkan tork 420Nm.

Harga Toyota HiAce 2026

  • LWB Van MT: $51,880 (AUD), anggaran RM142,977
  • LWB Van AT: $53,880 (AUD), anggaran RM148,482
  • LWB Van Barn Door AT: $54,630 (AUD), anggaran RM150,535
  • LWB Van GL Package AT: $54,880 (AUD), anggaran RM151,224
  • LWB Van GL Package Barn Door AT: $55,630 (AUD), anggaran RM153,281
  • LWB Crew Van AT: $56,880 (AUD), anggaran RM156,712
  • SLWB Van AT: $62,440 (AUD), anggaran RM172,058
  • SLWB Van Barn Door AT: $63,190 (AUD), anggaran RM174,098

Pilihan (varian LWB Van AT sahaja):

  • Pilihan 4 pintu: NCO
  • Pilihan panel: NCO
Google ads
Back to top button