TOYOTA GR YARIS DAH BOLEH TEMPAH – RM156K DI JERMAN!
Apabila pengeluar menawarkan model berprestasi atau mengeluarkan semula model ikonik ia membuatkan peminat dan komuniti permotoran teruja.
Toyota berjaya melakukannya melalui GT86 dan Supra A90. Memandangkan model berprestasi seperti itu berada di dalam segmen niche, ia sukar untuk dikilangkan di banyak buah lokasi seperti model kebanyakan.
Jadi tidak menghairankan mengapa model-model tersebut berada dalam segmen premium.
Sekali lagi Toyota berjaya membuatkan peminat dan komuniti permotoran teruja dengan penawaran GR Yaris yang turut memberikan akses kepada pengguna untuk terlibat dalam sukan permotoran.
Kini masanya telah tiba untuk mereka yang berminat apabila Toyota membuka tempahan GR Yaris pada 5 Mac 2020.
Pelanggan di pasaran terpilih Eropah boleh mendaftar minat mereka melalui platform dalam talian, offline atau menghubungi pengedar Toyota setempat.
Mereka yang berdaftar akan diberi keutamaan dalam membeli kereta dengan penghantaran bermula hujung 2020.
Dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing dengan kerjasama Tommi Mäkinen Racing, GR Yaris adalah model perdana bagi siri Yaris baharu.
Ia dikuasakan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo 261 hp (DIN) dengan daya pecutan 0 hingga 100 km/j kurang daripada 5.5 saat.
Ciri utama lain ialah pembinaan ringan, keseimbangan dinamik dan sistem pacuan semua roda pintar GR-FOUR yang bakal menjadi asas kepada kereta lumba Toyota WRC pada masa depan.
Bergantung kepada strategi setempat, GR Yaris akan ditawarkan dalam varian tunggal dan gred spesifikasi tinggi.
Bagaimanapun pembeli diberi alternatif untuk membuat pilihan di antara pek Circuit atau Convenience.
Pilihan tersebut menawarkan dua karakter berbeza iaitu prestasi atau keselesaan di jalanan.
Akhir sekali Toyota turut mengesahkan harga GR Yaris bermula dari 33,200€ (RM156,329) di Jerman.
Harga tersebut berpatutan untuk sebuah hot hatch dua pintu yang hebat!
BACA: PADA 2013 TOYOTA AGYA DIPERKENAL, ‘ABANG’ AXIA
BACA: TOYOTA TERCEL, INI NENDA VIOS DAN YARIS
BACA: PADA 1995, TOYOTA STARLET GLANZA DIPERKENALKAN DI JEPUN
Kredit foto: Toyota