Buletin

TOYOTA HILUX 2020 SEMAKIN MANTAP. ENJIN LEBIH BERKUASA, LASAK DAN ADA TSS

Kalau tanya pemilik Hilux model lama, majoriti pemilik sangat berpuas hati dengan jentera ini. Toyota Hilux merupakan kenderaan 4×4 yang lasak, sangat mudah diselenggara, tak banyak ragam dan menjimatkan bahan api.

Jadi tak hairanlah ia menjadi pilihan untuk pemandu yang sukakan aktiviti kembara lasak ataupun sebagai kenderaan utama untuk menjelajah menyelusuri hutan atau masuk ke tapak pembinaan. Dengan servis yang disarankan mudah untuk kita melihat model lama dipandu di atas jalan raya

Namun, untuk kekal relevan dan sentiasa menjadi pilihan dalam pasaran, antara perkara yang perlu dilakukan ialah kemas kini produk agar Hilux kekal kompetitif.

Antara naik taraf yang dilakukan oleh Toyota Hilux melibatkan aspek keupayaan enjin, dinamik pengendalian, prestasi ketika pemanduan lasak, pengenalan ciri Toyota Safety Sense dan sistem suspensi lebih stabil. Di samping beberapa ciri kosmetik bagi penggayaan yang mengikut selera pengguna semasa.

Toyota sinonim dengan output enjin yang sederhana, walaupun mereka mampu dan tahu untuk menghasilkan enjin yang lebih berkuasa. Matlamatnya adalah untuk memanjangkan jangka hayat enjin tanpa memerlukan proses pembinaan semula.

Tetapi ia tidak menghalang Toyota untuk menaik taraf enjin 2,800cc turbodiesel yang asalnya 177PS menjadi 204PS dan tork kepada 500Nm bagi memberikan pecutan yang lebih padu.

Biarpun begitu, penggunaan bahan api kekal rendah dengan teknologi pam bahan api 2 peringkat serta pengenalan teknologi EGR sejukan air.

Enjin 2400cc turbodiesel pula ditala agar lima peratus lebih menjimatkan bahan api dengan teknologi tekanan bahan api ditingkatkan menjadi 250MPa bagi menghasilkan pancitan diesel yang lebih halus.

Sistem turbo pula dipasang dengan sistem penyejukan untuk menurunkan suhu udara yang telah melalui sistem turbo.

Kuasa enjin yang besar mesti dikawal dengan baik, jadi Hilux didatangkan dengan stereng kuasa hidraulik dan teknologi Variable Flow Control.

Teknologi itu membolehkan stereng berasa lebih ringan ketika Hilux dipandu keluar dari parkir dan menjadi semakin berat apabila halaju meningkat. Secara tidak langsung, pengendalian Hilux menjadi lebih meyakinkan pada kelajuan tinggi.

Bagi prestasi pemanduan di laluan off-road, Hilux datang dengan teknologi Automatic Limited Slip Differential yang boleh diaktifkan pada halaju di bawah 50km/j dengan gear H2.

Sebaik sahaja sistem tersebut mengesan gelinciran pada roda, ia tidak mengurangkan kuasa enjin dengan mengaktifkan sistem ESC. Sebaliknya sistem itu akan menghantar kuasa pada tayar yang ada cengkaman.

Gegaran pada kabin penumpang pula dikurangkan dengan penggunaan pelapik getah yang diperkuatkan serta bertindak mengurangkan bunyi daripada memasuki kabin.

Sistem penyerap hentak juga direka semula agar ia menjadi lebih selesa supaya boleh dipandu lama tanpa rasa penat, pada masa yang sama digunakan di laluan off-road.

Teknologi Toyota Safety Sense yang sebelum ini digunakan pada Toyota Camry dan Toyota Corolla kini sudah dipasang pada Hilux. Pakej TSS meliputi Lane Departure Alert (dengan Yaw Assist Function), Dynamic Radar Cruise Control dan Pre-Collision System yang beroperasi antara halaju 10-180km/j.

Dari segi penampilan, Hilux tampil garang dengan lampu yang telah dikemas kini.  

Terutama menerusi penggunaan teknologi LED pada lampu utama hadapan yang lengkap dengan sistem projektor, lampu DRL LED, lampu kabus LED, serta penggunaan lampu LED bagi lampu isyarat membelok dan lampu belakang.

Paparan meter juga dikemas kini dengan saiz 4.2 inci lengkap dengan paparan semua maklumat. Sistem multimedia hadir dengan aplikasi Apple Carplay serta Android Auto untuk sambungan terus dari telefon pintar.

Kemas kini pada Toyota Hilux terbaharu menjadikannya lebih bergaya dan bernilai berbanding dengan wang yang dibelanjakan. Apatah lagi Hilux sinonim dengan kelasakan dan tahan lama.

Google ads
Back to top button