
TOYOTA HILUX+SENJATA BERAT = BOLEH KALAH KERETA KEBAL
Kami di Mekanika sentiasa menyokong keamanan dan keharmonian dalam dan luar negara. Kami tidak menyokong sebarang tindakan menyerang pihak lain sedangkan saluran diplomasi masih terbuka luas. Tapi kali ini kami bukan nak bersembang pasal geopolitik, tapi berkenaan sejarah unik pasal Toyota Hilux.
Tahukah anda Hilux merupakan kenderaan pilihan yang amat disukai oleh beberapa kumpulan militia seluruh dunia. Sejarah Toyota dalam pembekalan jentera dalam perang boleh dikesan semasa pembabitan Jepun dalam perang dunia kedua lagi. Mereka membekalkan lori kepada Tentera DiRaja Jepun. Malah mereka turut menghasilkan semula Willys Jeep versi Toyota melalui copy paste
Nasib baik perang tamat cepat, jika tidak kilang Toyota di Aichi telah dijadualkan untuk dibom. Sebaik perang dunia kedua tamat, wilayah koloni pihak berikat dijadualkan untuk diberikan kemerdekaan dari pihak United Kingdom, Peranchis dan Amerika. Peranchis memberikan kemerdekaan kepada Republik Chad dan juga Libya pada 1960an.

Chad dan Libya adalah negara berjiran namun tak pernah baik antara satu sama lain disebabkan masalah perebutan sempadan. Libya membeli satu kawasan antara sempadan Libya dengan Republik Chad dengan harga 40 juta USD. Berang dengan tindakan tesebut, rakyat Republik Chad memberontak dan menggulingkan presiden mereka. Ia menyebabkan Chad terbahagi kepada dua, satu kumpulan satu kumpulan yag disokong oleh Libya dan satu lagi kumpulan rakyat yang menentang Libya
Mungkin kerana mahu melindungi kepentingan ekonomi di Chad, Peranchis masuk campur dan membekalkan rakyat Chad untuk menentang tentera Libya di Chad. Mereka dibekalkan dengan 400 unit Toyota Hilux oleh kerajaan Peranchis yang dipasang dengan pelbagai senjata
Antaranya ialah mesingan kaliber besar, mesingan anti kapal terbang, peluru anti kereta kebal dan sebagainya. Anda kena ingat Hilux dicipta khas sebagai kenderaan 4×4 lasak, bukannya sebagai kenderaan tempur secara bersemuka. Jika ia berhadapan dengan mesingan berat biasa sekalipun ia akan bersepai tak bersisa

Tapi Hilux membuktikan ia adalah platform serba boleh. Pertama ia adalah ringan dan tidak dipasang dengan sebarang armor atau perlindungan. Ia menjadikan Hilux ini lincah dan tangkas ke mana sahaja ia diperlukan dengan segera. Bayangkan dalam filem Black Hawk Down, tiba tiba sahaja Hilux ini lengkap bersenjata mensingan menyerang dan mencederakan tentera PBB.
Sebelum mereka sempat memblas tembakan, Hilux ini hilang dari pandangan. Taktik gerila hit and run ini memang menyakitkan hati tentera yang menggunakan jentera berat. Disebabkan ia mampu bergerak laju, pihak tentera mendapati agak sukar untuk menembak Hilux ini dari kereta kebal dan juga kapal terbang
Dalam situasi konflik, anda tentu lupa berkenaan isu logistik dan kami maksudkan ialah bekalan bahan api. Masuk saja ke kawasan konflik jangan harap anda boleh jumpa stesen minyak dengan kedai makanan segera wujud. Disebabkan ia sangat ringan dan tanpa perlindungan armor, maka ia menggunakan bahan api dengan efisyen dan tidak membebankan pasukan logistik untuk membawa bekalan minyak yang banyak

Dalam satu serangan yang dibuat ke atas kem tentera Libya yang dilindungi dengan periuk api anti kereta kebal, pasukan bersenjata Republik Chad mendapati jika Hilux dipandu laju ia gagal mengaktifkan periuk api. Keadaan ini menjadi bencana kepada tentera Libya yang bergantung pada periuk api sebagai pertahanan.
Dalam satu pertempuran akhir antara kumpulan ini, 70 kereta kebal generasi lama yang dibeli dari Rusia, 30 kereta perisai dan 30 kapal terbang rosak apabila militia Republik Chad menyerbu sebuah lapangan terbang berhampiran sempadan. Pihak militia pula kehilangan 7 buah Hilux dalam serangan ini.
Semasa kejatuhan tentera dan kerajaan Somalia pada 1990an, warlord Somalia ketika itu memilih untuk menggunakan strategi sama yang digunakan oleh militia Chad. Nak beli kereta kebal dan kereta perisai mahal dan ada sekatan antarabangsa. Cara yang paling senang pasangkan senjata berat pada Hilux dan ia menjadi lambang kekuasan dan status pada warlord Somalia. Ia jauh lebih murah untuk disediakan.

Ketika Somalia dilanda krisis kemanusiaan, beberapa pertubuhan keamanan antarabangsa mulai datang ke sana bagi tujuan misi perubatan dan juga kemanusiaan. Namun mereka tidak terlepas daripada diganggu oleh militia lain dan juga samseng di sana. Jadi NGO ini akan mengupah warlord bagi memberikan perlindungan kepada NGO ini. Ketika ini warlord dan Hilux dikenali sebagai Technical Assistant.
Jadi warlord ini akan datang bersama-sama Hilux yang dipasang senjata tadi sebagai kontraktor keselamatan. Dah buat bisnes pulak mereka ni dengan pakai Hilux. Namun apa yang menarik perhatian mereka ialah Toyota Hilux atau kereta pikap Toyota merupakan kereta yang lasak, boleh dipandu oleh sesiapa sahaja dengan latihan minima dan senjatanya pula boleh dioperasikan oleh sesiapa sahaja.
Bagi tujuan penyelenggaraan, kenderaan Toyota tidak memerlukan latihan yang rumit untuk dibuat. Sesiapa sahaja yang ada 2 tangan, 2 kaki dan kenal dengan spanar boleh melakukan kerja penyelenggaraan. Ketika krisis di Somalia inilah kereta pikap Nissan, Mitsubishi, Toyota, Ford dan Isuzu mula dikenali dengan nama Non Standard Technical Vehicle atau singkatannya Teknikal.

Satu lagi teori berkenaan perkataan teknikal ini berasal dari Syarikat senjata Russia TEKNIKO yang membekalkan senjata pada warlord Somalia dengan memasang senjata tersebut pada Hilux. Selepas krisis di Somalia, kenderaan Teknikal ini digunakan dengan meluas sebagai kenderaan utama militia ketika krisis di Afghanistan, Iraq, Syria dan juga ISIS. Agaknya inilah lawan kepada Humvvee.