Buletin

TEMPAHAN TOYOTA HILUX 2020 DIBUKA. 5 VARIAN, ENJIN LEBIH BERKUASA. BERMULA RM94K

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan sudah mula mengambil tempahan bagi Toyota Hilux 2020 yang telah dipertingkatkan. Sekali gus memberi nilai tambah kepada trak pikap paling laris di Malaysia itu.

Selain hadir dengan penampilan lebih segar dari luar dan dalam, ia turut menerima naik taraf prestasi dan  sistem keselamatan.

Pelanggan kini boleh memilih dari lima varian Hilux, dengan Double Cab 2.4 E A/T menjadi penawaran terbaru. Varian Double Cab 2.8 Rouge A/T akan menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition ketika ini.

Sementara Double Cab 2.4 V A/T merupakan naik taraf daripada varian Double Cab 2.4 versi L-Edition. Bagi yang mahukan transmisi manual, varian Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 masih tersedia.

Tujuh warna ditawarkan ialah Bronze Mica Metallic (warnabaru), merah metalik, hitam, coklat metalik, perak metalik dan putih. Hilux Single Cab bagaimanapun hanya didatangkan dalam warna putih (Solid White) sahaja.

PRESTASI DIPERTINGKATKAN

Enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel kini telah diberikan penambahbaikan untuk meningkatkan lagi output kuasa dan torknya. Enjin itu mampu menjana kuasa 204PS pada 3,400 rpm (27 PS lebih tinggi) dan tork maksimum 500Nm pada 1,600 – 2,800 rpm (tambahan 50Nm).

Walaupun enjinnya lebih berkuasa, kadar penggunaan bahan api tidak meningkat.

Malah, kecekapan penggunaan bahan api Hilux 2020 lebih baik disebabkan penggunaan pam minyak dua-peringkat yang secara optimum boleh menukar tekanan minyak mengikut kesesuaian.

Sebagai tambahan, ciri penyejuk pra-EGR (Exhaust Gas Recirculation) sejukan cecair jenis paip berkembar turut dipasang untuk mengoptimumkan suhu gas EGR.

Sistem rak bantuan kuasa bagi stereng Hilux baru pula (kecuali bagi varian Single Cab)  kini dilengkapi sistem Variable Flow Control (VFC) yang bertindak mengurangkan beban pada pam stereng kuasa. Sekali gus menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Pada masa yang sama, pemandu akan merasai maklum balas stereng yang lebih baik dan natural dalam kelajuan yang berbeza-beza. Rasanya lebih ringan dalam kelajuan rendah untuk memudahkan kawalan ketika masuk parkir misalnya dan akan menjadi lebih berat ketika trak bergerak lebih laju untuk memberikan kestabilan.

Hilux baharu juga hadir dengan Limited Slip Differential (LSD) automatik yang membantu melalui sistem kawalan cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan output enjin ketika satu daripada tayar belakang mula hilang cengkaman.

Sistem LSD automatik berkenaan diaktifkan ketika dalam mod pemanduan High dan pacuan 2WD dengan kelajuan sehingga 50km/j.

TOYOTA SAFETY SENSE

Selari dengan matlamat Toyota untuk menjadikan kenderaan keluarannya lebih selamat dan mengurangkan kemalangan jalan raya, banyak modelnya kini dilengkapi sistem Toyota Safety Sense (TSS).

Sistem itu terdiri daripada tiga rangkaian sistem berbeza; sistem pra-perlanggaran (PCS), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) serta amaran pertukaran lorong dengan ciri Yaw Assist.

REKAAN BARU

Beberapa elemen penggayaan pada Hilux telah diberi sentuhan yang lebih segar, seperti bampar depan, gril serta kemasan lampu kabus. Bagi Hilux paling lengkap,

Double Cab 2.8 Rogue, lekuk pada bonetnya juga baru, berserta bahagian skid plate. Sementara varian paling asas pula menerima rim rekaan baru bersaiz 17-inci dan 18-inci.

Di ruang kabin, perubahan paling ketara ialah bagi varian paling tinggi yang hadir dengan rekaan dalaman baharu. Ia meliputi rekaan meter, pencahayaan pada kemasan bukaan pintu serta bahagian kunci rekaan terkini.

Varian paling asas menerima rekaan meter baru dengan paparan maklumat tambahan pada Multi Information Display (MID).

TEMPAHAN DIBUKA SEKARANG

Barisan Hilux terbaru akan diperkenalkan tidak lama lagi. Harga anggaran bermula RM93,880. Manakala harga varian 2.8Rogue adalah sekitar RM148,880 seunit.

Pelanggan yang terawal boleh menikmati harga istimewa RM144,880 yang ditawarkan hanya untuk model Toyota Hilux D/CAB 2.8 Rouge AT 4×4 (jualan tahun 2020) sahaja.  Senarai harga lengkap sebenar akan diumumkan selepas pelancaran rasmi kelak.

Pelanggan yang ingin membuat tempahan boleh berkunjung ke bilik pameran Toyota berdekatan atau layari toyota.com.my dan hubungi talian bebas tol 1-800-88-TOYOTA (869682).

Google ads
Back to top button