Artikel Pilihan

MAHAL KE KOS SERVIS TOYOTA HILUX?

Ok pembaca Mekanika, hari ini mari kita bincangkan berapakah kos yang perlu dikeluarkan untuk kita membela sebiji Hilux untuk kegunaan harian. Disebabkan penulis sendiri menggunakan Hilux model 2015, maka penulis akan kongsikan pengalaman penyelenggaraan Toyota Hilux.

Kita akan bandingkan antara Hilux 2016 versi ke 8 dalam pelbagai aspek termasuk penyelenggaraan pencegahan, kos alat ganti dan juga lain-lain kos berdasarkan pengalaman penulis.

1. Minyak enjin – dah nama enjin, mesti ada komponen mekanikal seperti piston, aci engkol dan aci sesondol yang memerlukan minyak pelincir 15W-40 bagi memastikan semua komponen bergerak dengan sempurna. Hilux memerlukan hampir 8 liter minyak enjin bagi setiap 5000km.

Tak mahal tuan, ia datang dengan 2 botol iaitu satu botol 5 liter yang berharga RM 86.40 dan 3 botol dengan kuantiti 1 liter yang berharga RM 18.70. Anda membelanjakan sekitar RM 142.50 bagi setiap kali servis. OK la, takkan nak pakai minyak kelapa dara kan.

2. Drain plug gasket – untuk mengelakkan alur nut minyak keluar ini rosak, ia perlu ditukar setiap kali servis, harganya murah saja iaitu sekitar RM 2.80 saja.

3. Penapis minyak enjin – ha ini memang istimewa sikit. Penapis ini hanya perlu ditukar setiap 10,000km. Ini bermakna kalau servis 1000km, 10,000km dan 20,000km dan setrusnya barulah ia ditukar. Ia tidak perlu ditukar ketika servis 5000km, 15,000km dan seterusnya. Harganya ialah RM 36.6 per unit

Keadaan ini menyebabkan servis pada 5000km, 15,000km dan seterusnya kan menggunakan 7 liter minyak enjin saja.

4. Bila Hilux mula mencapai 40,000km maka banyak la sikit minyak pelincir yang perlu ditukar terutama yang melibatkan komponen 4×4. Antara yang perlu ditukar ialah minyak pelincir transfer case oil 1 liter (RM 51.30), minyak differential gear DGLT575W851L 2 liter (RM 103.60) dan minyak differential gear DGLT575W854L 4 liter (RM184.40).

5. Ketika 40,000km juga Toyota mencadangkan agar minyak brek ditukar sepenuhnya dengan kos RM 31.00. Disebabkan Hilux menggunakan sistem stering hidraulik, minyak power steering perlu ditukar dengan kos RM 26.60

6. Ok ni semak kepala sikit, dah tukar macam-macam pelincir maka drain plug gasket transfer case (RM6.40), rear differential (RM 5.40), filler plug front differential (RM 2.70) dan drain plug front differential (RM4.00) juga perlu ditukar. Brapa banyak drain plug gasket daa.

7. Penapis udara enjin – ataupun air cleaner element perlu ditukar pada setiap 40,000km dengan harga RM 96.00. Kalau tak tukar enjin rasau lemau.

8. Cecair penyejuk enjin – berdasarkan maklumat, cecair coolant yang dibekalkan boleh bertahan sehingga 160,000km sebelum perlu diservis dan ditukar semula. Ada 2 pilihan samaada 3.785 Liter yang berharga RM 106.50 ataupun 3 liter yang berharga RM 31.90.

9. Minyak gear manual – perlu ditukar pada setiap 40,000km sekali dengan kos RM 77.70. Untuk transmisi automatik pula, ia hanya perlu ditukar pada setiap 80,000km sekali dengan kos yang lebih mahal iaitu RM 220.20. Dah senang pandu tak perlu tekan klac, mestilah mahal

Kos penukaran minyak gear automatik secara keseluruhan ialah RM 312.60 termasuklah gasket, O-Ring, kos buruh dan SST.

10. Tayar- ada beberapa jenis tayar untuk Hilux samaada HT, AT atau MT. Disebabkan rekaan berbeza, maka harga tayar akan menjadi berbeza. Penulis menggunakan Hilux generasi 7 dengan rim 15 inci, kos penukaran tayar HT ialah sekitar RM 330 per unit.

Model baru datang dengan rim bersaiz 18 inci, haa pandai-pandai lap hidung bila berdarah tengok harga tayar.

11. Bateri – saiz bateri Hilux ialah 95D31L. Bergantung pada jenis samaada menggunakan bateri jenis basah yang memerlukan penyelenggaraan ataupun bateri kering, anda boleh letakkan bajet bateri baru sekitar RM 350-450 per unit bergantung pada jenama

12. Pad brek – sekiranya perlu pelapik brek depan perlu ditukar jika ketebalannya kurang daripada minima. Antara tanda-tanda brek pad perlu ditukar ialah stering dan pedal brek terasa bergetar sedikit ketika membrek. Kos pelapik brek OEM Toyota ialah RM 424.60 bagi setiap set.

13. Tali sawat kipas – model terbaru 2.4 tidak menggunakan tali sawat pemasaan seperti model lama, tapi komponen lain seperti kipas dan tali sawat pemampat udara masih menggunakan belt. Jika tali sawat ini mula merekah dan berbunyi seaktu enjin dihidupkan, ia perlu ditukar dengan kos RM 523.50 setiap set.

Kalau tak ada bunyi tak payah tukar. Kalau model lama 2.5 KUN ia memerlukan penukaran timing belt pada setiap 150,000km.

14. Cukai jalan – model lama dengan enjin 2500cc memerlukan anda membayar RM 880 untuk kos memperbaharui cukai jalan selama setahun. Bagi model baru yang dilengkapi dengan enjin 2400cc, kos memperbaharui cukai jalan hanyalah RM 754.40 setahun.

15. Ruang Kargo belakang – ya Toyota tidak akan membekalkan sebarang aksesori pada bahagian belakang. Jika anda bercadang untuk memasang kanvas, kosnya ialah sekitar RM 450-RM 650. Pandai sembang di kedai aksesori dapat la murah.

Tapi untuk memasang kanvas anda perlu memasang sport bar terlebih dahulu dengan kos sekitar RM 1200-RM1400 per unit siap dengan pemasangan. Antara masalah kanvas ialah ia cepat reput

15. Hardtop Kabin- jadi bagi mengatasi masalah tersebut, antara pilihan lain ialah dengan memasang hardtop kabin yang dihasilkan dari fiberglass. Kosnya ialah antara RM 3500-RM 45000. Boleh tahan mahal tapi ia lebih lasak dan selamat disebabkan ia boleh dikunci.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di SINI

Google ads
Back to top button