
TOYOTA MAJESTY – VERSI MEWAH HIACE KINI DI THAILAND, BERMULA RM257K
Toyota Motor Thailand baru-baru ini melancarkan van penumpang mewahnya, Majesty ke pasaran tempatan. Diposisikan di bawah model Alphard dan Vellfire, van yang menggantikan Ventury itu tampil dengan rekaan luaran serta dalaman lebih mewah.
Didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Majesty menawarkan kapasiti 11 tempat duduk yang semuanya dibalut kulit.

Bahagian hadapan dipasang dengan sepasang lampu projektor LED, lampu nyalaan siang LED dan cermin sisi kuasa bersama lampu isyarat membelok. Van itu juga dilengkapi pintu gelongsor elektrik pada kedua-dua belah sisi, hendal pintu krom dan sistem kemasukan tanpa kunci.
Majesty disasarkan kepada mereka yang mahukan sebuah kenderaan mengangkut penumpang yang mewah dan selesa. Lebih menarik lagi, dimensinya adalah lebih besar berbanding Alphard/Vellfire.
Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi ruang kabin yang dilengkapi sepasang kerusi kapten pada baris kedua. Sementara dua lagi baris tempat duduk di belakang direka agar dapat menempatkan penumpang dengan selesa.

Bagi memberi kemudahan kepada penumpang, tujuh soket USB disediakan. Majesty juga menggunakan sistem infohibur dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci, ketersambungan Bluetooth dan 12 unit pembesar suara.
Di samping sistem telematik T-Connect, sembilan beg udara dan pelbagai teknologi bantuan pemandu.
Majesty dikuasakan oleh enjin diesel turbo bersesaran 2.8 liter yang turut digunakan pada model van Commuter dan trak pikap Hilux Revo.
Enjin yang boleh menggunakan bahan api B20 itu mampu menjana kuasa mencecah 163hp dan tork 420Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.
Sebagai perbandingan, Ventury sebelum ini menggunakan khidmat enjin 3.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan automatik.

Dari segi keselamatan, Majesty hadir dengan sistem ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Control (VSC), Limited-slip Differential, Hill Assist Control sietem pemantauan tekanan tayar dan banyak lagi.
Ia juga dilengkapi ciri Toyota Safety Sense, comprises Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.

Toyota Motor Thailand menawarkan Majesty dalam tiga varian iaitu Standard, Premium dan Grande. Varian Standard dijual pada harga 1,709 juta baht (RM232,000), Premium berharga 1,899 juta baht (RM257,700) dan Grande 2,199 juta baht (RM398,400) seunit.
Adakah Majesty akan menjejaskan jualan Alphard? Toyota bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas.
Namun ia memberitahu Majesty disasarkan kepada keluarga generasi baru dan eksekutif perniagaan. Apa pun, ia tetap dilihat mampu mencuri perhatian pembeli yang sebelum ini mungkin mahu mendapatkan Alphard atau Vellfire.