Buletin

PROTON X70 AKAN DILANCARKAN NOVEMBER. HARGA LEBIH MURAH!

Seperti yang kita sedia maklum, Proton X70 – SUV pertama Proton dengan kerjasama Geely yang diperkenalkan di pasaran tempatan merupakan versi import penuh (CBU) dari kilang pemasangannya di China.

Proton juga dalam proses akhir pembesaran kilang pengeluarannya di Tanjung Malim yang akan menjadi “rumah” baru untuk X70. Mereka menjangkakan akan mula memasang X70 versi tempatan – CKD (Complete Knock Down) November ini.

Menurut firma pelaburan, AmInvestment Bank semalam, Proton akan melancarkan X70 versi CKD menjelang penghujung tahun nanti.

“Kami mengalu-alukan CKD X70 yang akan datang pada bulan November, di mana pengurusan DRB-Hicom telah memberi indikasi bahawa terdapat pengurangan harga bagi SUV yang popular,” dalam satu kenyataan AmInvestment semalam.

Dengan pelancaran Saga baru-baru ini, bank yakin Proton dapat mengekalkan jualan yang kukuh sepanjang tahun 2019.

Proton mencatatkan jumlah jualan sebanyak 8,600 unit pada bulan Julai, sekaligus menguasai pasaran sebanyak 16.5 peratus untuk bulan tersebut dan 15 peratus pada keseluruhan pegangan tahunan.

Jualan Proton berada pada 52,200 unit untuk tujuh bulan pertama tahun ini, mencatatkan pertumbuhan 48 peratus dibandingkan tahun lepas.

Sementara itu, Julai 2019 jumlah jumlah industri (TIV) naik 20 peratus bulan ke bulan tetapi turun 26 peratus tahun ke tahun kepada 50,900 unit.

Bagi tujuh bulan pertama tahun 2019, TIV turun 3.0 peratus kepada 347,200 unit daripada 358,100 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun kami masih belum menerima laporan rasmi dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk jenama lain dan pecahan jumlah jumlah industri, kemungkinan besar Proton telah memintas Honda di tempat kedua.

“Dengan momentum dan permintaan yang berterusan daripada model berorientasikan volum seperti Persona dan Iriz, kami yakin Proton akan menduduki tangga kedua menjelang akhir tahun 2019, di belakang Perodua,” kata bank itu.

Tags
Google ads
Back to top button