Artikel Pilihan

KISAH SEORANG PAKCIK ‘COOL’ DAN KOLEKSI HOTWHEELS TERBESAR DI MALAYSIA

Kalau anda mengaku seorang kaki kereta tetapi tidak berminat dengan Hotwheels sila berhenti membaca dan pergi tolong bini basuh pinggan ataupun potong rumput. Tapi rasanya memang ramai yang minat Hotwheels, kalau tak minat kumpul pun ada yang minat tengok biasalah tu.

Pok Ya pun minat dengan Nissan GTR tapi minat tengok je lah (nak beli takut bini tarik telinga). Ini cerita pasal pengumpul Hotwheels, bukan pengumpul biasa-biasa tetapi jumlah koleksinya mencecah 10,000 unit. Ya 10,000 tuan-tuan. Kalau setakat ada 3 biji yang cat pun dah tanggal duduk diam-diam okey.

Ini cerita pasal Uncle Chia yang juga dikenali dengan nama Uncle Hotwheels. Berusia 65 tahun, Uncle Chia ni sudah mengumpul model-model Hotwheels sejak 16 tahun lepas. Punyalah banyak koleksi beliau sehinggakan ia terpaksa ditempatkan dalam sebuah rumah yang disewa khas.

Minat beliau bermula bila seorang saudara menghadiahkan sebuah model Ferrari berskala 1:18 kepada beliau. Beliau meletakkannya di atas meja dan menghabiskan masa berjam-jam memerhati ketelitian buatan pada model tersebut.

Selepas itu beliau mula berkunjung ke cawangan-cawangan 7-11 untuk membeli model-model lain sebelum mengorak langkah mengunjungi flea market di Amcorp Mall, Petaling Jaya yang merupakan lubuk bagi para pengumpul seperti beliau.

Kecintaan Uncle Chia terhadap Hotwheels memang hebat dan dapat dihidu oleh ibu pejabat Hotwheels di AS. Bahkan ketua pereka Hotwheels, Steve Vandervate yang hadir pada Art of Speed (AOS) 2019 baru-baru ini juga sempat mengunjungi Uncle Chia untuk melihat koleksi hebat beliau.

Uncle Chia telah menghabiskan lebih RM100,000 untuk semua koleksi beliau yang kini dianggarkan bernilai RM200,000 ke 300,000. Model yang paling bernilai dimiliki beliau semestinya ia Nissan Skyline dari koleksi Sweet Rods Premium Series yang bernilai sekitar RM800!

Sebagai seorang bekas jurutera, Uncle Chia mempunyai cara tersendiri untuk menyusun koleksi beliau. Beliau mereka sendiri rak khas yang menempatkan kesemua koleksi beliau dan memang ia kelihatan seperi buatan professional. Memang jauh la bezanya dengan koleksi Pok Ya yang tersusun tonggang terbalik dalam kotak kertas A4 cap ayam.

Bila ditanya kenapa beliau begitu bersungguh mengumpul model-model Hotwheels ini jawapan Uncle Chia cuma satu sahaja “Minat”. Bukan minat biasa tetapi minat yang sangat mendalam.

Disebabkan minat itulah Uncle Chia tidak mempunyai model kegemaran dari kesemua koleksi beliau. Beliau memang cukup berminat dengan kesemuanya dan bukannya hanya satu dua model tertentu. Hebat bukan bagaimana minat yang mendalam menukar seorang lelaki biasa kepada seorang pengumpul yang luar biasa.   

BACA: NISSAN SKYLINE WAGON HAKOSUKA – SASARAN BURUAN PEMINAT HOTWHEELS SELURUH DUNIA TAHUN INI

Kredit gambar The Rakyat Post.

Google ads
Back to top button