TOYOTA GRANVIA DAN GRAND HIACE, VAN MEWAH SEBELUM ALPHARD/VELLFIRE
Pengenalan semula Toyota Granvia baru-baru ini dilihat positif oleh peminat van dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
Granvia sebenarnya membawa semangat van Jepun yang telah lama kendur dek dominasi van mewah seperti Alphard dan Vellfire.
Bukan tiada model menarik, pasaran sebenarnya turut dihidangkan dengan pelbagai tawaran seperti Nissan Serena, Toyota Voxy, Mazda Biante dan Honda Stepwgn.
Hakikatnya siri jenama van seperti Liteace dan Townace begitu kuat sekali.
Granvia secara tradisinya ialah van keluarga atau mewah berasaskan model Hiace.
Model ini mula dipasarkan di Jepun pada tahun 1995 dan identitinya ialah bonet separuh di depan (semi bonetted van).
Walaupun van keluarga dan mewah pada ketika itu diwakili oleh Liteace dan Townace, saiz badannya mula langsing seperti yang boleh dilihat pada Townace Noah tahun 1996.
Pada tahun 1999, Toyota telah memperkenalkan Granvia (dieja Gran Via) dengan beberapa perubahan baharu sekaligus melancarkan Wagon Grand Hiace.
Pengenalan ini sebenarnya meneruskan tradisi model sebelumnya iaitu Granvia dan Hiace Regius.
Dari segi reka bentuk, kedua-dua Granvia dan Grand Hiace tidak banyak beza atau lebih tepat ialah ibarat ayahanda kepada Alphard dan Vellfire.
Toyota memaklumkan Grand Hiace adalah sebuah van dengan kombinasi sedan mewah.
Selain bonet separuh, satu lagi DNA Granvia dan Grand Hiace ialah sesaran enjinnya yang besar.
Model tahun 1999 ini misalnya tampil dengan enjin 3.4 liter V6 petrol (5VZ-FE) dan 3.0 liter turbo diesel (1KZ-TE).
Untuk transmisi, kedua-dua van dipadankan dengan empat kelajuan automatik (ECT-E).
Selain enjin besar, kelengkapan keselamatan kedua-dua model juga hebat seperti kawalan penstabilan kenderaan (VSC), bantuan brek (BA), ABS dengan EBD dan biasa untuk kereta Jepun, pacuan empat roda (4WD).
Dari segi varian, Granvia ditawarkan dalam versi Aero untuk penampilan sporti dan mewah, Welcab khusus penumpang kurang upaya dan Camping, istimewa dengan mod kembara .
Varian Camping dilengkapi katil (bunk bed), dapur gas, siniki dan pemasak.
Pada tahun 1999, Toyota Granvia dan Grand Hiace dijual pada harga permulaan JPY 2,765,000.
Memandangkan Granvia dijual di Jepun, van ini turut diimport oleh syarikat bebas atau individu ke pasaran tempatan.
Ada sebuah yang kami jumpa di laman web jual beli kenderaan, harganya? RM35,000.