
GR COROLLA, GR86 DAN GR SUPRA TRANSMISI MANUAL SAH BAKAL DILANCARKAN DI MALAYSIA
UMW Toyota Motor bakal membawa masuk model-model GR berkuasa tinggi ke pasaran tempatan tahun hadapan. Perkara itu disahkan sendiri oleh Presidennya, Ravindran K. dalam majlis meraikan media malam semalam.
Antara model-model yang ditunggu-tunggu ialah GR Corolla, GR86 dan GR Supra dengan transmisi manual enam kelajuan. Jika anda masih ingat, UMW Toyota telah pun melancarkan GR Supra dengan kotak gear automatik lapan kelajuan pada September 2019.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, GR Corolla baru sahaja dilancarkan di pasaran Thailand pada harga mencecah RM500,000.
Jentera bertransmisi manual itu menggunakan enjin tiga silinder yang sama seperti GR Yaris iaitu 1.6 liter turbo. Enjin yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan Intelligent Manual (iMT) bersama ciri re-matching itu mampu menjana kuasa 304hp dan tork 370Nm.
Pengendalian mantap disumbangkan oleh limited-slip differential dan sistem pacuan semua roda GR-Four.

GR86 yang merupakan kembar kepada Subaru BRZ juga dijadual menjengah pasaran negara tahun depan.
Tidak dinyatakan bila tarikh tepatnya, model generasi kedua itu dikuasakan oleh enjin 2.4 liter aspirasi biasa 235PS dan tork 250Nm. Jentera sports dua pintu itu hadir dengan pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.
Jadi, model mana yang anda paling suka dan teringin nak beli? Saya pastinya akan memilih GR Corolla!