Buletin

TOYOTA PERTONTON C-HR BAHARU MELALUI C-HR PROLOGUE CONCEPT!

Toyota C-HR mula dikeluarkan pada tahun 2016 dan dilancarkan di pasaran tempatan pada 2018. Dengan usia tersebut sudah sampai masa untuk model baharu dan Toyota memberi bayangan model pengganti melalui C-HR prologue concept yang baru sahaja didedahkan.

Dari gambar yang dikongsi, C-HR kekal dengan reka bentuk yang menarik dan agresif selain membawa karakter model baharu Toyota bZ.

Toyota memaklumkan model konsep ini menggunakan rim lebih besar, juntaian (overhang) yang lebih pendek dan memberikan imej lebih sporti dan keterampilan lebih berani.

Pada bahagian depan, C-HR prologue diberi gril lebih kecil dan lampu lampu puncak lebih langsing untuk menonjolkan sebuah kereta dengan identiti teknologi tinggi.

Dengan gayaan ala Toyota bZ, adakah C-HR akan digerakkan nadi elektrik? Tambahan pula C-HR sudah mempunyai versi elektrik di China.

Setakat ini Toyota mengesahkan C-HR akan ditawarkan di serata dunia dengan rangkaian kuasa hibrid dan hibrid plug-in.

SUV konsep ini direka oleh bahagian Reka Bentuk Toyota Eropah yang turut merekabentuk C-HR generasi pertama.

Bilakah tarikh pelancaran C-HR baharu? Belum diketahui dan maklumat lanjut mengenai spesifikasi SUV ini akan didedahkan dalam tempoh yang hampir dengan pelancarannya.

Sebagai rekod, C-HR pasaran tempatan yang diimport dari Thailand dijual pada harga RM145,500 pada 2018.

Jualan C-HR di pasaran tempatan sudah pun dihentikan dan mereka yang berminat masih boleh memilikinya dari pengimport bebas.

Sementara itu, C-HR masih lagi ditawarkan di Thailand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan pasaran antarabangsa lain.

Sumber dan foto: Toyota Australia

BACA: TOYOTA VELOZ, BERBALOI KE TAMBAH RM 20,000 DARIPADA PERODUA ALZA AV?

BACA: TOYOTA CROWN KEMBALI, SEDAN PREMIUM DAN TINGGI DARIPADA CAMRY!

BACA: LIMA CIRI TOYOTA SIENTA 2022, DARI RM62K DI JEPUN!

Google ads
Back to top button