Pandu Uji

TOYOTA VELOZ, BERBALOI KE TAMBAH RM 20,000 DARIPADA PERODUA ALZA AV?

Sesi pandu uji kali ini yang melibatkan Toyota Veloz merupakan satu tugasan yang agak sukar untuk dibuat. Bagaimana untuk menilai sebuah Toyota Veloz dengan peningkatan harga hampir RM 20,000 berbanding Perodua Alza AV? Kedua-dua model pula dihasilkan dengan cesi Daihatsu New Global Architecture

Kedua-dua model dikuasakan dengan enjin 4 silinder 1500cc dengan teknologi injap pemasaan yang menghasilkan 105 kuasa kuda dan 138Nm tork pada 4200 RPM. Semua kuasa enjin ini dihantar ke roda depan menerusi transmisi Dual Mode CVT dengan ciri Shiftronic 7 kelajuan

Walaupun pada dasarnya Toyota Veloz dan Perodua Alza kelihatan hampir sama, terdapat beberapa peruhan kecil yang dibuat bagi membeza antara kedua dua model. Antaranya ialah:

1. Dari bahagian depan Toyota Veloz menggunakan jeriji terapung dengan motif 3 segi di bahagian dalam, manakala perumah jeriji pula dibentuk dengan 6 sudut berbanding dengan 4 sudut pada Perodua Alza

Toyota Veloz tidak dipasang dengan lampu kabus, sebaliknya digantikan dengan DRL Led di bahagian atas bampar, kemasan krom pada sudut depan bampar, di bawah hud enjin , dan rekaan hud enjin yang berbeza. Pendek kata kalau anda beli Perodua Alza dan cuba convert ke Toyota veloz, makan modal bang

2. Dari sudut sisi, perbezaan terbesar Toyota Veloz dengan Perodua Alza ialah ketinggian pusat graviti Veloz dinaikkan 30mm menjadi 190mm berbanding 160mm sahaja pada Alza. Toyota Veloz juga mendapat rim 2 tona bersaiz 17 inci, rel bumbung, puddle lamp di cermin sisi, plastik cladding dan 2 pintu penumpang depan boleh dibuka dengan menggunakan sentuhan.

3. Untuk bahagian belakang, perbezaan adalah minima dengan rekaan lampu LED strip light yang lebih panjang dan juga rekaan bampar belakang yang sedikit berbeza.

4. Bahagian dalaman dan rekaan papan pemuka Toyota Veloz didominasi dengan 2 warna, iaitu putih krim dan juga hitam. Warna putih krim ini diberi kemasan lembut di bahagian papan pemuka serta, suis penyaman udara ditukar kepada suis rotari dan ciri automatik dan lampu kabin di konsol tengah

5. Panel pintu di bahgain depan turut mengenakan kemasan warna putih krim, door handle serta diberikan kemasan lampu kabin yang berwarna biru lembut.

6. Toyota Veloz diberikan ciri tambahan lain yang lebih premium seperti pengecaj tanpa wayar di konsol tengah, penyaman udara automatik, stering dengan ciri teleskopik, balutan kusyen dengan fabrik yang lebih berkualiti dan pintu yang boleh dikunci dan dibuka secara automatik

7. Bagi unit multimedia, kamera 360 darjah akan berfungsi secara automatik apabila lampu isyarat dinyalakan, serta ciri sambungan Android Auto/Apple Car Play tanpa wayar

Berikut ialah pemerhatian penulis terhadap pengendalian Toyota Veloz:

8.1 Disebabkan Toyota Veloz dinaikkan sebanyak 30mm, suspension travel menjadi semakin tinggi dan menjadi semakin baik. Ini menyebabkan Toyota Veloz berupaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan lebih baik berbanding dengan Perodua Alza

Penulis juga dapat rasakan pergerakan tayar belakang lebih stabil dan kurang sibuk berbanding dengan Perodua Alza

8.2 Walaupun lebih tinggi, pengendalian Toyota Veloz di selekoh masih boleh tahan dan kekal melekat bagi sebuah MPV 7 tempat duduk. Kalau anda biasa memandu Perodua Aruz dan Toyota Rush maka anda akan bersetuju degan penulis

8.3 Dengan menggunakan rim 17, sebenarnya ia menjadikan operasi transmisi DCVT menjadi semakin lancar. Pemerhatian penulis apabila pedal minyak ditekan, rim bersaiz 17 inci menyerap sentakan daripada DCVT dan melancarkan pergerakan roda. Hanya wujud jerk apabila pedal minyak dilepaskan

8.4 Dari aspek ergonomik, roda stering dengan fungsi teleskopik memberikan posisi kedudukan yang lebih baik dan lebih bagus berbanding dengan Perodua Alza

8.5 Walaupun menggunakan rim 17, penggunaan bahan api tidak jauh berbeza dengan Perodua Alza dengan purata 17km/liter.

8.6 Pada halaju 120km/jam, kadar bunyi yang didengari oleh penulis adalah sekitar 60dB sahaja. Malah Toyota Veloz juga diberikan cat anti karat di bahagian dalam perumah tayar dan di bahagian cesi. Penulis juga percaya Toyota telah memasang beberapa bahan kedap bunyi tambahan pada model Veloz

Dari segi estetik dan rekaan, tidak dinafikan bahawa Toyota Veloz lagi sedap dipandang dan juga memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Apatah lagi ia diberikan pelbagai ciri tambahan yang lebih mewah berbanding dengan Perodua Alza menjadikannya lebih premium dan mewah.

Cuma pada pendapat peribadi penulis, harga RM 95,000 yang dipinta terlalu tinggi. Tapi kalau nak letak RM 90,000 pula jadi harga lebih murah berbanding dengan Toyota Rush. Macam tak kena pula dan pricing strategy yang salah kalau Toyota Veloz lagi murah berbanding dengan Rush

Tapi walau apa pun keputusan anda, tepuk dada dan tanya selera kerana anda akan membayar ansuran bulanan dengan penambahan RM 20,000 ini. Beli Perodua Alza pun betul, beli Toyota Veloz pun betul. Terpulang kepada selera dan poket masing-masing.

Google ads
Back to top button