Buletin

TOYOTA PERLIHAT RESTOMOD AE86 JADI KERETA ELEKTRIK & KERETA HIDROGEN!

Restomod kereta lama menjadi sebuah kenderaan elektrik bukanlah satu perkara baharu.

Ia telah pun dijalankan oleh beberapa pihak yang mahu menawarkan kereta-kereta klasik dengan trenkuasa yang lebih mesra alam.

Melihatkan kepada potensi yang ada, Toyota baru-baru ini memperlihatkan dua buah model konsep EV dan hidrogen dengan menggunakan kembar Corolla AE86.

Model H2 Concept membawakan bentuk badan Trueno dengan lampu pop-up, dan keadaan badan yang standard sama seperti ia keluar kilang suatu ketika dahulu.

Tersembunyi di sebalik badan itu ialah dua tangki storan hidrogen yang disumberkan daripada Toyota Mirai.

Anda perasan enjin 4A-GE berwarna biru itu? Spesifikasi asal masih lagi cuba dikekalkan, kecuali dengan sistem suntikan dan saliran bahan api yang telah diubahsuai, serta palam pencucuh untuk disesuaikan dengan sistem suapan bahan api hidrogen.

Menurut Toyota, nadi empat silinder sebaris itu masih lagi mampu menghasilkan bunyi enjin pembakaran dalaman, serta tahap gegaran yang sama macam enjin 4A-GE standard.

Sebuah lagi model konsep ialah AE86 BEV yang menggunakan bentuk badan Levin, liveri dua tona yang sama macam Trueno H2 Concept, namun dibezakan dengan unit trenkuasa yang digunakan.

Sistem EV terdiri daripada motor elektrik yang diperoleh daripada Toyota Tundra hibrid, pek bateri daripada Toyota Prius dan komponen lain daripada model produksi Toyota dan Lexus.

Kejutan yang paling tidak dijangka ialah pengekalan transmisi manual untuk model BEV itu tadi, di mana ia dikatakan mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang unik seperti kereta manual, dengan karakteristik sebuah EV.

Google ads
Back to top button