KERETA SPORTS ROTARI MASIH LAGI IMPIAN UTAMA MAZDA
Enjin rotari sangat sinonim dengan jenama Mazda, dan pengeluar itu masih lagi mempunyai impian untuk menghasilkan kereta sports rotari serba baharu.
Namun, impian tersebut mungkin sekali akan menjadi kenyataan pada masa akan datang, atau terus lesap ditelan zaman.
Menurut penolong pengurus divisi pembangunan trenkuasa Mazda, Yoshiaki Noguchi berkata, “enjin rotari merupakan simbol kami. Ia merupakan impian setiap jurutera Mazda untuk mempunyai kereta sports dengan enjin rotari.
“Namun, sekarang bukan masa yang sesuai untuk itu.”
Pengurus divisi produk Mazda, Wakako Uefuji menambah, fokus Mazda pada ketika ini adalah untuk menjalankan elektrifikasi barisan model sedia ada, dan penawaran enjin hibrid rotari merupakan sebahagian daripada perancangan tersebut.
Namun, pihaknya tidak menolak secara terus idea untuk menggunakan enjin rotari untuk model yang lebih sporti pada masa hadapan.
Jika anda ingat, sudah 11 tahun berlalu sejak Mazda RX-8 ditamatkan produksinya, di mana ia merupakan kereta sports terakhir yang menggunakan enjin rotari.
Setelah itu, Mazda muncul dengan model konsep yang paling cantik dalam dunia – Mazda RX-Vision – pada tahun 2015.
Enjin rotari akhirnya membuat kemunculan semula buat kali pertama pada tahun ini, namun ia hanya digunakan untuk menambah jarak operasi bagi model EV MX-30. – Autocar