" "
Artikel PilihanBuletin

AE86 DENGAN ENJIN GR YARIS – HABIS HANCUR TOFU KALI NI

AE86 memang tidak perlu diperkenalkan. Dengan rupa paras yang serba sederhana macam Abang Japar tapi kini dijual dengan harga mengalahkan rumah teres kos rendah di Uzbekistan (agaknyalah). Ia merupakan jentera drift yang epik tapi bergantung juga kepada siapa yang memandunya. Kini sebuah syarikat tuner dari Jepun telah berjaya menyiapkan sebuah jentera drift AE86 yang bernadikan enjin G19 GR Yaris!

Syarikat terbabit dikenali dengan nama Daddy Motor Works yang diasaskan pada tahun 2013 merupakan hab pengubahsuaian untuk kereta-kereta yang sukar ditemui. Sesuai untuk mereka yang kenal barey ni boh. Dimiliki oleh Kunihiro Oto, projek terbaru mereka ialah sebuah jentera drift yang bernadikan enjin GR Yaris.

Model yang terpilih untuk menerima enjin berprestasi tinggi moden ini ialah sebuah Levin hatchback AE86 yang juga merupakan kembar kepada AE86 Trueno yang menjadi kegilaan peminat komik Initial D. Dalam keadaan standard, enjin GR Yaris mampu menghasilkan kuasa maksima setinggi 257 hp tapi aci potong kuku sudah tentu angka tersebut sudah pun digandakan oleh budak Oto ni.

Kuasa jentera ini dihantar ke tayar belakang menerusi kotak gear manual 6-kelajuan yang diambil dari Toyota GT86. Oto menghasilkan sendiri plat adapter khas untuk memastikan enjin G19 boleh dicantumkan dengan bell housing Nissan L-series sebelum sistem transmisi ini sempurna.

Bagi memastikan enjin tersebut muat dengan sempurna, rak stereng juga diubah sedikit ke hadapan yang juga memerlukan beberapa pengubahsuaian sebelum berjaya dilakukan. Enjin G19 ini masih kelihatan kecil dalam ruang enjin AE86. Nampak sangat enjin G19 ni mempunyai saiz yang sangat kompak.

Paip ekzos macam mana? Senang je, ia dikeluarkan terus ke atas melalui lubang yang ditebuk pada bahagian bonet depan. Berapi ni boh.

Bahagian dalaman disudahkan dengan roll cage penuh untuk keselamatan sebelum ia dilayangkan dengan cat matt gray eksklusif sama seperti Toyota Supra baharu. Kemasan pelekatnya juga banyak bertemakan jentera perlumbaan GR Supra dengan jaluran krom dan hitam memanjang dari depan ke belakang.

Nampak memang kerja professional bertaraf tinggi kan? Tapi ada juga peralatan murah yang dikenakan pada AE86 ini. Antaranya ialah cermin pandang belakang sisi, arch fender dan gandar belakang yang diambil daripada Toyota Crown! Ni teksi kat Bachok dulu ni.

Lain pula ceritanya dengan sistem brek. Brek hadapan diambil daripada Nissan Skyline GT-R R32 dengan rotor2 bersaiz 300mm yang mampu memberikan daya henti yang lebih baik. Ia juga memerlukan bracket khas untuk dipasang pada kereta ini.

Akhir sekali ia kemudiannya dilengkapkan dengan rim 6 jejari Chevlon yang memang nampak ngam habis dengan kereta ini. Saiznya? 16×9 depan dan 19×10 belakang.

Syarikat Oto menghasilkan dua jentera drift AE86 dalam satu masa. Satu unit akan digunakan untuk latihan manakala unit yang menggunakan enjin GR Yaris bakal digunakan untuk pertandingan.

Bukan itu sahaja, ia juga akan turut dibawa menyertai pertandingan drag dan untuk itu ciri launch control memang menjadi pilihan yang sangat tepat.

Google ads
Back to top button