TAKUMI KENA SEKOLAH DENGAN GR86 – SIAPA PULA PEMANDU TU?
Pada bulan Januari lepas video untuk iklan Toyota GR86 telah ditayangkan di beberapa negara yang memaparkan adegan perlumbaan antara Toyata AE86 yang dipandu oleh budak penghantar tofu Takumi Fujiwara dan GR86 baru yang dipandu oleh raja drift sendiri, Keiichi Tsuchiya. Kalah lagi si Takumi dan terbaru Takumi sekali lagi dikalahkan oleh seorang lagi tokoh pemandu hebat yang setanding dengan juara rali Mentakab. Siapa agaknya kali ini?
Iklan kali ini dikatakan khusus untuk pasaran China tapi dalam zaman internet serba pantas ni tak mustahil iklan ini akan turut ditularkan di negara-negara lain. Kalau tak disiarkan pun saluran Youtube pun ada apa susah. Sambil-sambil tu jangan lupa tekan lonceng subscribe video Mekanika sekali.
Video terbaru bermula dengan Takumi memandu AE86 kesayangan beliau di sebatang jalan yang gelap. Jalan lama ke Bukit Tinggi kot? Tiba-tiba beliau terserempak dengan seorang budak muda yang memandu Toyota GT86 generasi pertama.
Aksi drift antara keduanya bermula sebelum Takumi melakukan aksi perlumbaan sambil memadamkan lampu yang menjadi trademark beliau. Aksi ini sebenarnya dipelajari Takumi sewaktu lawatan sambil belajar ke Malaysia di mana beliau dapati ramai pemandu di negara kita selalu terlupa menyalakan lampu di waktu malam.
Ingatkan dah menang tiba-tiba muncul pula sebuah GR86 terbaru dan mula ‘menyerang’ kedua pemandu muda tersebut.
Apa lagi berdesup pemandu misteri tersebut memecut sebelum memotong Takumi yang sedang terpinga-pinga. Sekali toleh rupanya pemandu GR86 tersebut ialah ayahandanya sendiri, Bunta Fujiwara. Patut la terer sangat.
Pengakhiran video menunjukkan Takumi tiba di rumah dan mendapati sebuah GR86 baharu berada di hadapan rumah beliau. Korang rasa itu kereta baru Bunta ke kereta sewa macam yang dilakukan oleh founder-founder kosmetik timbang kilo di Malaysia?
Syukurlah video ni tamat setakat itu, kalau tak memang akan muncul kereta keempat yang akan menapau kesemua model Toyota tu. Kereta apa? Mestilah Alza vtectec dengan joki terbilang Mentakab.