TOYOTA PERKENALKAN GR86 EDISI ULANG TAHUN – DAH 40 TAHUN USIA 86 NI
Toyota AE86 yang ikonik mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 1983. Korang mesti ramai tak lahir lagi kan? Jadi tahun ini, 2023 merupakan ulang tahun ke 40 usia model klasik popular ni. Kesempatan ini diambil oleh Toyota untuk mengeluarkan model edisi khas ulang tahun. Ia lebih kepada naik taraf kosmetik tapi zaman TikTok ni pelanggan tak kisah sangat. Janji spesial.
Menggunakan varian paling top, RZ Trim, GR86 40th Anniversary Limited ini cuma ditawarkan dengan dua pilihan warna, Spark Red dan Crystal White. Sama macam warna kembar Levin dan Trueno sewaktu mula diperkenalkan 40 tahun dahulu.
Paling ketara jika dibandingkan dengan GR86 biasa ialah pemegang pintu berwarna hitam dan rim berwarna gunmetal gray. GR86 standard menggunakan rim berwarna matte black. Aa, spoiler belakang pun warna hitam dik, macam 86 asal.
Sebenarnya model ulang tahun ini bukannya naik taraf kosmetik seratus peratus walaupun bahagian enjin tidak disentuh. Syukur… rugi bayar mahal-mahal hanya untuk dapat muka peuh mekap tebal kan? GR86 isitimewa ini sebenarnya dilengkapi dengan brek yang lebih baik dengan penggunaan angkup Brembo 4-piston di hadapan dan 2-piston di belakang. GR standard pakai 2-pot dan piston tunggal depan belakang okey. Ini Brembo original tau bukannya cover Brembun yang jiran korang beli dekat Shopi Motorsport.
Lagi satu, suspensinya juga turut dinaiktaraf dengan penggunaan penyerap hentak Sachs ZF. Gerek seh. Ini baru spesial. Mana boleh spesial edition tapi main tampal stiker kedai Ah Beng je.
Bahagian luaran tu memang hiasan dari segi decal je lah macam tulisan “Since 1983” dan “40th” menggantikan tulisan “Twin-Cam” dan “16V” pada varian standard.
Dalam turut menampilkan tema 86 asal dengan sentuhan warna hitam dan merah. Perbezaan warna dan padanan warna garang memang dan macam tema wajib la pada kereta-kereta sports. Ni benda biasa je bagi kami. Cuma ada la sulaman tanda ulang tahun ke 40 pada bahagian tertentu seperti panel pintu.
Biasanya model edisi ulang tahun ini tidak la hebat sangat kalau dikeluarkan pada model-model seperti Camry, Corolla ataupun Vios, tapi sebab ini adalah GR86 sudah tentu ia akan mengundang pelbagai komen positif daripada peminatnya. Lebih-lebih lagi yang tak mampu nak beli macam kami ni.