Buletin

TRANSIT ALIRAN AUTOMATIK (ART) DIUJI DI PUTRAJAYA FEBRUARI INI

Selain perkhidmatan rel seperti LRT, MRT, KTM, BRT dan monorel, warga kota kini bakal menerima satu lagi perkhidmatan awam iaitu Transit Aliran Automatik (ART) atau ‘trackless tram’.

Tram tanpa trek itu akan mula diuji dalam tempoh percubaan bermula Februari ini bersempena dengan Putrajaya Open Day sehingga Disember 2024.

Fasa ujian tersebut dipercayai akan dilakukan di laluan panjang berhampiran Dataran Putrajaya dan gerbang Perbadanan Putrajaya.

Anda boleh merasai sendiri pengalaman menaiki pengangkutan ini secara percuma pada Februari ini, bermula dari 1 hingga 4 Februari 2024 di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Memetik The Edge Malaysia, Mobilus Sdn Bhd juga bakal memperkenalkan perkhidmatan ART di Johor dengan memulakan percubaan di Iskandar Malaysia sebagai lokasi pertama.

Pada tahun 2021, ART telah dipandu uji di jalan raya awam selama empat bulan bagi memastikan keberkesanannya sebelum dibuka untuk penduduk sekitar.

Projek IMBRT ini dijangka akan bergerak dalam kelajuan 70 kilometer per jam dan boleh mengangkut lebih 300 penumpang dalam tiga gerabak.

Kapasiti pengangkutan ART ini boleh bertambah kepada 500 penumpang dalam lima gerabak. Keseluruhan bagi ketiga-tiga laluan utama iaitu Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri adalah seluas 2,043 kilometer.

Pada masa sama, perkhidmatan ini juga akan diwujudkan di Sarawak dan laluan ART dijangka siap hujung tahun 2027. – The Rakyat Post

Google ads
Back to top button