Buletin

PORSCHE MACAN EV DILANCARKAN – JANA 630HP, JARAK GERAK 613KM, HARGA BERMULA RM380K

Porsche Macan generasi baharu berkuasa elektrik sepenuhnya akhirnya dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.

Tampil lebih berkuasa, Porsche Macan didatangkan dalam dua pilihan iaitu Macan 4 berkuasa 402hp dan Macan Turbo sehingga 630hp.

Dari segi penggayaan, ia menggabungkan DNA reka bentuk dengan aerodinamik yang dioptimumkan melalui komponen Porsche Active Aerodynamics (PAA).

Dibina di atas Premium Platform Electric (PPE), model ini mempunyai ukuran dimensi 4,784mm (panjang), 1,938mm (lebar) dan 1,622mm (tinggi), dengan jarak roda 86mm lebih panjang berbanding model sebelumnya, 2,893mm.

Platform ini menggunakan binaan elektrik 800 volt dan akan menjadi asas untuk Audi A6, Q6 EV atau Porsche Cayenne EV yang akan datang.

Untuk bateri, ia dipadankan bersama sel Lithium-Nickel Manganese Cobalt dengan kapasiti 95kWh dan boleh dicas melalui pengecas pantas DC sehingga 270kW, pengecasan 0-80 peratus dalam tempoh 21 minit sahaja.

Macan 4 dan Macan Turbo dijana oleh dua motor elektrik synchronous jenis magnet tetap dan motor di belakang dipusing 180 darjah untuk memberikan sedikit agihan berat ke belakang.

Bagi jarak gerak, ia menawarkan jarak tempuh sehingga 613km bagi Macan 4 manakala Macan Turbo berupaya mencapai jarak sejauh 591km, mengikut kitaran data WLTP.

Berdasarkan kombinasi Launch Control, Macan 4 berupaya menghasilkan 402hp dan 650Nm tork, sementara Macan Turbo pula mampu menghamburkan kuasa 630hp dan 1,130Nm tork.

Porsche Macan 4 mempunyai daya pecutan 96km/j dalam 4.9 saat, sementara Macan Turbo mampu melakukan pecutan sama dalam 3.1 saat sahaja.

Untuk rekod, kelajuan maksima masing-masing dihadkan pada 218km/j dan 260km/j.

Menjengah bahagian dalam pula, ia dilengkapi kluster digital 12.6-inci dan skrin sentuh 10.9-inci dengan ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay, pembantu suara maya Porsche serta pencahayaan ambien.

Perincian lain termasuklah tempat duduk tanpa kulit dan penggunaan bahan kitar semula di bahagian dalaman selain, terdapat pilihan sistem stereng gandar belakang (rear-axle).

Bagi harga pula, Macan 4 boleh dimiliki pada harga bermula AS$80,450 (RM380,500), manakala untuk model Macan Turbo diberi tanda harga bermula AS$106,950 (RM505,700).

GALERI:

Google ads
Back to top button