Buletin

UNTUNG JATUH, JUALAN NAIK – BYD BUANG 100,000 PEKERJA

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD dilaporkan mengurangkan kira-kira 100,000 tenaga kerja sepanjang 2025, sekali gus menyusutkan jumlah pekerja kepada sekitar 870,000 orang.

Pengurangan hampir 10 peratus itu bukan berpunca daripada kelembapan permintaan, sebaliknya dikaitkan dengan penstrukturan semula dalaman, peningkatan kecekapan operasi serta langkah kawalan kos.

Langkah ini mencerminkan fasa baharu persaingan dalam industri EV global, di mana pengeluar kini bukan sahaja berlumba dari segi teknologi dan jualan, tetapi turut memberi tumpuan kepada kecekapan operasi bagi mengekalkan daya saing.

Dari segi prestasi kewangan, BYD mencatatkan hasil mencecah AS$1.12 trilion (sekitar RM5.28 trilion) bagi tahun 2025, dengan jumlah penghantaran kenderaan sebanyak 4.60 juta unit.

Pasaran luar negara memainkan peranan semakin penting apabila penghantaran eksport melepasi paras satu juta unit buat kali pertama, dengan anggaran sekitar 1.05 juta unit.

Namun begitu, keuntungan bersih syarikat menurun kepada AS$45.6 bilion  (sekitar RM214 bilion), susut kira-kira 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tekanan harga dalam pasaran domestik kenderaan tenaga baharu (NEV) serta pelaburan berterusan dalam pembangunan teknologi kenderaan dan bateri menjadi antara faktor utama penurunan tersebut.

Walaupun berdepan tekanan margin, BYD terus mengekalkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi, mencecah 634 bilion yuan.

Fokus utama merangkumi pembangunan sistem elektrifikasi, teknologi bateri serta infrastruktur pengecasan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan global, BYD turut memperkenalkan teknologi baharu seperti Blade Battery 2.0 bersama sistem Flash Charging 2.0 pada 5 Mac 2026.

Teknologi ini membolehkan pengecasan pantas dari 10 hingga 70 peratus dalam kira-kira lima minit, manakala 10 hingga 97 peratus boleh dicapai dalam sekitar sembilan minit dalam keadaan standard.

Seiring dengan pengenalan teknologi tersebut, BYD meningkatkan sasaran eksport 2026 kepada 1.5 juta unit, iaitu kira-kira 15 peratus lebih tinggi berbanding sasaran terdahulu.

Sementara itu, jualan NEV domestik mencatatkan penurunan ketara sebanyak 41 peratus pada Februari 2026, dipercayai berpunca daripada faktor bermusim berkaitan musim perayaan di China.

Penurunan ini berlaku sebelum pelancaran teknologi bateri baharu, sekali gus dilihat sebagai turun naik jangka pendek, bukannya perubahan struktur permintaan.

Secara keseluruhan, prestasi BYD pada 2025 memperlihatkan gabungan antara pengurangan kos, pertumbuhan hasil serta pelaburan berterusan dalam teknologi.

Google ads
Back to top button