Artikel Pilihan

YANGWANG U9 EXTREME TERBABAS, PEMANDU SELAMAT

Hypercar elektrik keluaran BYD, Yangwang U9 Xtreme dilaporkan mengalami kemalangan serius ketika menjalani ujian kelajuan tinggi di China. Insiden yang dirakam dalam sebuah video dan tersebar di media sosial itu memperlihatkan kereta berprestasi tinggi berkenaan mengalami kerosakan teruk selepas dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang litar.

Impak kemalangan tersebut dilaporkan menyebabkan keseluruhan pemasangan gandar belakang tercabut daripada badan kereta. Bahagian hadapan dan belakang kenderaan turut mengalami kerosakan yang serius, menunjukkan betapa kuatnya impak ketika kejadian berlaku.

Namun laporan awal menyatakan pemandu ujian berjaya keluar daripada bangkai kereta tanpa memerlukan bantuan. Ruang kabin penumpang juga dilaporkan masih utuh dan tiada kecederaan serius dilaporkan. Setakat laporan tersebut diterbitkan, tiada kebakaran bateri dilaporkan selepas kemalangan.

Punca sebenar kejadian serta kelajuan kereta ketika kemalangan berlaku masih belum diketahui dan BYD juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Yangwang U9 Xtreme bukan sekadar versi berprestasi tinggi bagi sebuah supercar elektrik biasa. Model ini merupakan antara kenderaan paling ekstrem yang pernah dibangunkan BYD, dengan sistem pacuan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 2,977hp.

Ia menggunakan platform e4 yang membolehkan setiap motor mengawal penghantaran tork kepada roda secara individu. Teknologi ini memberikan keupayaan pengagihan kuasa yang lebih tepat, khususnya ketika mengambil selekoh dan memecut pada kelajuan tinggi.

U9 Xtreme turut menggunakan seni bina elektrik 1,200 volt serta pek bateri berkapasiti 80kWh. Sistem suspensi aktif DiSus-X pula menjadi antara teknologi utama yang membezakan model ini daripada supercar elektrik konvensional.

Pada September 2025, Yangwang U9 Xtreme mencatat kelajuan maksimum 496.22km/j, menjadikannya antara EV produksi terpantas di dunia. Pencapaian itu meletakkan BYD dalam kelompok pengeluar yang berani mencabar dominasi jenama hypercar berprestasi tinggi dari Eropah.

Malah BYD sebelum ini dilaporkan merancang untuk membawa model berkenaan ke Emiriah Arab Bersatu bagi satu lagi percubaan kelajuan tinggi dengan sasaran melepasi 500km/j.
Bagaimanapun, kemalangan terbaharu ini mungkin menimbulkan persoalan mengenai perancangan tersebut, walaupun masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia akan menjejaskan jadual ujian yang dirancang.

Insiden ini turut menujukkan cabaran sebenar dalam pembangunan hypercar elektrik. Menghasilkan kuasa hampir 3,000hp merupakan satu pencapaian teknologi, tetapi memastikan keseluruhan sistem pacuan, tayar, suspensi dan struktur kenderaan mampu beroperasi dengan selamat pada kelajuan ekstrem merupakan cabaran yang jauh lebih besar.

Walaupun sistem kawalan tork individu dan teknologi suspensi aktif mampu membantu meningkatkan kestabilan, ia tidak bermaksud sebuah kenderaan kebal daripada kehilangan kawalan.

Buat masa ini, perhatian pastinya tertumpu kepada hasil pemeriksaan terhadap Yangwang U9 Xtreme bagi mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut, terutama apabila BYD masih mempunyai sasaran untuk membawa hypercar elektrik berkenaan melepasi angka 500km/j.

Google ads
Back to top button