
VALENTINO ROSSI KINI BERGELAR DUTA JENAMA YAMAHA – MESTI MASYUK NI
Pengumuman lantikan Rossi sebagai duta jenama Yamaha diadakan hujung minggu lepas sempena MotoGP Sepanyol. Pusingan kali ini menyaksikan kedudukan terbaik Yamaha disumbangkan oleh Fabio Quartararo yang mendapat tempat ke-10.

Rossi dan Yamaha tidak perlu diperkenalkan lagi dan nama Rossi sendiri turut sinonim dengan Yamaha sepanjang karier beliau selama 25 tahun sebagai pelumba. 16 tahun daripadanya dihabiskan bersama Yamaha dan beliau memenangi empat kejuaraan dunia bergandingan dengan Yamaha bagi musim 2004, 2005, 2008 dan 2009.
Walaupun sudah bersara dari MotoGP, Rossi masih selesa dengan jentera keluaran Yamaha dari Yamaha R1, Yamaha YZ450F sehinggalah ke pelbagai model motorcross dari Yamaha. Malah Yamaha turut membekalkan motosikal untuk penunggang-penunggang di VR46 Riders Academy. Yamaha menyokong penubuhan Yamaha VR46 Master Camp dan VR46 Motor Ranch yang bertujuan melatih generasi pelumba-pelumba baharu.

Bagi Rossi sudah tentu lantikan sebagai duta jenama mengimbau kembali sejarah lama sewaktu keduanya berkerjasama dalam MotoGP. Selepas bersara beliau masih menunggang motosikal dan memilih Yamaha kerana sudah selesa dengan jenama tersebut. Kini dengan kerjasama yang kembali terjalin ia dijangkakan memberi banyak faedah kepada keduanya.
Yamaha turut menegaskan yang Rossi dan Yamaha mempunyai satu ikatan yang sangat istimewa. Kehadiran Rossi dalam kem Yamaha dalam MotoGP menukar terus rentak mereka sehingga keduanya berjaya merangkul kejayaan demi kejayaan.
Yamaha turut menyatakan yang Rossi sentiasa menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ Yamaha (macam Fast & Furious pulak) dan hasrat beliau untuk menjadi duta jenama memang mendapat sokongan penuh dari Yamaha.
Gandingan dua nama besar ini dijangka bakal menaikkan lagi prestij Yamaha sebagai pengeluar motosikal dunia. Er.. Rossi ada RX-Z tak?